Malaysia Dateline

Salahkan Anwar jauh tersasar dari fakta sebenar

Dakwaan Tun Mahathir Mohamad yang menyalahkan Anwar Ibrahim atas kejatuhannya, bukan saja tidak tepat, malah jauh tersasar daripada fakta yang sebenar.

Itu adalah kesimpulan yang mudah boleh difahami daripada jawapan balas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail terhadap rengekan terbaru bekas Perdana Menteri itu.

Dalam wawancara dengan sebuah akhbar, Tun Mahathir berkata, kalau bukan kerana Anwar, beliau masih lagi Perdana Menteri sekarang ini.

“Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini masih Perdana Menteri. Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 220 ahli parlimen tulis siapa yang mereka pilih.

“Saya fikir PH akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.

“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62,” katanya dalam interbiu tersebut.

Di sebalik Tun Mahathir sendiri yang meletakkan jawatan tanpa berunding dengan PH, tetapi kemudian menyalahkan Anwar, Saifuddin berkata, tidak benar sama sekali bahawa PKR dan PH tidak berpegang kepada janji.

Katanya, janji untuk menjadikan Tun Mahathir sebagai PM7 sudah pun dipenuhi, tetapi PKR dan PH tidak pernah berjanji menjadikannya PM8 selepas meletak jawatan sebagai PM7.

Sebaliknya, tegas Saifuddin lagi, Tun Mahathirlah yang mungkir janji kepada Anwar, PKR dan PH.

Berikut ialah jawapan Saifuddin itu sebagaimana diberikannya kepada Malaysiakini:


Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, tidak timbul isu Presiden PKR, Anwar tidak cukup sokongan untuk menjadi perdana menteri sekiranya Dr Mahathir Mohamad berpegang kepada janjinya.

Beliau juga menafikan kenyataan Mahathir yang mendakwa bahawa dia masih lagi perdana menteri jika bukan kerana langkah Anwar.

“Tidak timbul Anwar tak sokong. Perjanjian sebelum PRU14 ialah Dr Mahathir jadi perdana menteri ketujuh.

“Anwar, PKR dan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji. PH menang PRU14 dan Dr Mahathir menjadi perdana menteri ketujuh negara.

“Saya sendiri yang mewakili PKR di samping pimpinan DAP dan Amanah yang terlibat tahu bahawa Dr Mahathir setuju sebagai interim PM.

“Dia tidak setuju menetapkan tarikh untuk berhenti tetapi setuju dua tahun untuk tidak dilihat sebagai ‘lame duck’ atau pemimpin yang akan pincang. Ternyata Dr Mahathir mungkir janji,” katanya lagi.

Saifuddin mengulas dakwaan Mahathir semasa wawancara bersama Utusan Malaysia bahawa dia masih lagi perdana menteri dan bahawa Anwar sebagai ‘tidak lurus’.

Untuk rekod, sebelum PRU14, pimpinan PH bersetuju meletakkan Mahathir sebagai calon PM berikutan Anwar ketika itu masih berada di penjara.

Namun, susulan ‘Langkah Sheraton’ yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali kerajaan PH tumbang dan Mahathir meletak jawatan pada Februari 2020.

Seterusnya, Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan selepas mendapat sokongan daripada ahli parlimen BN, Pas dan GPS sementara Anwar gagal mendapat sokongan ahli parlimen di kalangan bekas sekutu PH.

Menjelaskan krisis politik negara pada 2020, Saifuddin yang juga ahli parliman Kulim Bandar-Baharu berkata Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri tanpa membuat perbincangan dengan pimpinan PH.

“Dia hilang jawatan akibat perbuatan sendiri yang silap. Jika dia mengakui kesilapannya dia akan lebih dihormati.

“Janji PKR dan PH untuk menjadikan Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh telah ditunaikan.

“Mahathir sendiri tidak tunai janji untuk melepaskan jawatan PM kepada Anwar.

“PKR tidak pernah janji sokong Mahathir sebagai PM kelapan.

“Jika Mahathir tunai janji, tidak timbul Anwar tak cukup majoriti,” tegas Saifuddin.

Baca juga Kehebatan persahabatan Siddiq Fadzil dan Anwar Ibrahim