Malaysia Dateline

Saman terhadap Sanusi barangkali amaran awal buat Hadi

Daripada empat pemimpin blok pembangkang yang disaman setakat ini oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, tiga daripadanya adalah pemimpin Pas.

Mereka ialah Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan terbaharu, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor.

Pemimpin keempat yang diambil tindakan sama ialah Mahiaddin Md Yasin, Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu.

Secara tidak langsung ini bermakna, walaupun Pas itu parti Islam kononnya, tetapi pemimpinnya dilihat lebih terdedah kepada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Jika tiada unsur fitnah, tentulah tidak mungkin Anwar ada asas untuk mengemukakan saman terhadap mereka itu.

Dengan mengemukakan saman itu, sebagaimana disebut sebelum ini, ia bukanlah bermakna Anwar pemimpin yang mudah koyak dan tidak sedia dikritik.

Anwar sebenarnya sangat terbuka dengan kritikan, bahkan amat meraikan perbezaan pendapat.

Anwar meraikan perbezaan pendapat tetapi tidak bertolak ansur terhadap fitnah dan pembohongan

Tetapi, melalui saman yang dikemukakannya, ia menunjukkan beliau tidak bertolak ansur terhadap fitnah, pembohongan serta kata-kata berbentuk penipuan.

Berkedudukan sebagai Perdana Menteri, apabila tindakan saman diambilnya terhadap pemfitnah, ia adalah mesej untuk rakyat memahami tentang pendiriannya terhadap fitnah.

Tidak sukar sebenarnya untuk memahami bahawa bagi Anwar, fitnah mesti dilawan dengan tindakan undang-undang agar ia dapat memberi pengajaran kepada mereka yang terbabit serta orang lain juga.

Fitnah tidak boleh lagi dilawan dengan penafian atau penjelasan semata-mata, jauh sekali tidak boleh sekadar hanya berdiam diri serta berserah kepada Tuhan saja.

Melalui tindakan saman itu, ia adalah peringatan kepada tukang-tukang fitnah, sama ada yang berkopiah atau tidak, agar ada sedikit ketakutan untuk meneruskan kerja-kerja jahat tersebut.

Seterusnya, dengan mendepani fitnah itu dengan saman, ia akan membolehkan Anwar memberi lebih tumpuan untuk mengurus negara dan menjaga kepentingan rakyat.

Beliau tidak perlu lagi menafi atau membuat penjelasan terhadap fitnah kepadanya, segala-galanya mesti mereka hujahkan di depan hakim di mahkamah nanti.

Kalau asyik mahu menafi, menjawab atau memberi penjelasan setiap kali fitnah ditimbulkan, ia tidak mungkin berakhir sampai bila-bila dan akhirnya hanya membuang masa jika kemudian banyak lagi fitnah-fitnah lain dikeluarkan.

Pendek kata, saman fitnah Anwar bukan saja sebagai pengajaran kepada pemfitnah dan mereka yang suka membuat fitnah, malah juga untuk membolehkan beliau lebih serius dalam tanggungjawabnya terhadap rakyat.

Selepas ini, jika ada sesiapa lagi memfitnahnya, mereka juga pasti disamannya. Sekaligus, saman terhadap Sanusi barangkali merupakan amaran awal secara tidak langsung kepada pemimpin utama Pas, Hadi Awang yang dilihat masih berterusan mempertikaikan kewujudan kerajaan perpaduan dan tidak puas hati dengan terangkatnya Anwar sebagai Perdana Menteri.

Hadi boleh terus berhujah dan mempertikaikannya selagi ia berbentuk kritikan, tapi hati-hati jangan sampai terseret unsur fitnah di dalamnya, baik dalam ceramah atau tulisannya yang kerap di media sosial.

Kalau celupar dan memfitnah juga, percayalah, waima Hadi sekali pun, tidak akan terlepas daripada turut dilayangkan surat saman.

Cubalah kalau tak percaya?

Baca juga Menjelang 19 Disember: Ini 9 perkara anda perlu tahu tentang Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim