Sikap individu tertentu suka buang sampah plastik merata termasuk ke dalam sungai dan laut mengancam nyawa binatang selain menjejaskan sumber makanannya.
Satu video tular yang menyaksikan seorang pemuda cuba mengeluarkan botol plastik dari perut burung undan menarik perhatian warganet.
Bermula dari bahagian perut, pemuda itu kemudiannya menekan-nekan tubuh burung itu hingga ke leher dan akhirnya berjaya mengeluarkan botol plastik kosong itu.
Sehubungan itu, rata-rata orang ramai menuntut agar masyarakat tidak lagi membuang sampah merata tempat selain mengucapkan syukur kerana burung tertelan botol itu berjaya juga diselamatkan.
“Banyak sampah sarap di luar sana. Lepas makan minum tak reti buang di tong sampah, main campak saja, geram dibuatnya.
“Diri sendiri punya perangailah punca sampai banjir kerana sampah menyekat aliran longkang, parit, sungai dan seterusnya masuk ke laut mengancam hidupan air,” kata seorang warganet.
Untuk rekod, banyak hidupan marin seperti paus dan penyu mati tertelan plastik.
Bahkan, ada hidupan darat seperti gajah mati setelah termakan sisa sampah yang kebanyakannya plastik, sisa toksik serta benda tajam seperti pernah dilapor berlaku di kawasan perkampungan Pallakkadu di Ampara, Sri Lanka.
Seluruh dunia menyumbang kepada pencemaran plastik yang akhirnya mencemar laut dengan setiap tahun setakat 2018, sebanyak 13 juta tan plastik masuk ke laut sekali gus mengancam kehidupan marin.
Menurut Pensyarah Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail dalam satu artikel yang diterbitkan pada 2018, Malaysia berada di tempat kelapan pencemaran plastik di lautan.
Baca juga Sungai Furat makin kering, ini nasihat ustaz supaya kita bersedia