Sampai bila Perda City Mall nak jadi projek ‘gajah putih’?

Oleh ARIF ATAN

Seram dan menakutkan. Itulah luahan Muhayat Jasmin dan beberapa penduduk tempatan sekitar pusat beli- belah, Perda City Mall di Bukit Mertajam yang telah menjadi projek ‘gajah putih’ sejak enam tahun lalu.

Pusat beli-belah yang tersergam indah dan menjadi tumpuan dengan pelbagai kemudahan itu telah ditutup secara rasminya pada 2 Ogos 2016 setelah notis mengejut dikeluarkan oleh pihak pengurusan.

Adalah difahamkan masalah bermula apabila penghawa dingin tidak berfungsi selama dua minggu dan operasi beberapa gedung besar sedia ada seperti Parkson, Econsave dan pawagam TGV juga terpaksa menghentikan operasi ketika itu.

Kini siapa sahaja yang melalui kawasan itu pada waktu siang akan melihat semak-samun dan tumbuhan liar yang menjalar memenuhi seluruh kawasan terbabit.

Lebih menggerunkan pada waktu malam dengan keadaan sunyi-sepi tanpa sedikit pun cahaya sekitar kawasan bangunan Perda City Mall tersebut.

Walaupun ia begitu hampir dengan bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Hospital KPJ yang bertaraf dunia serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, ia tetap menyakitkan mata memandang.

Nazar Hashim yang ditemui turut berkata, sepatutnya pihak berkuasa seperti MBSP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya dan Ahli Parlimen Permatang Pauh serta Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang sempadannya hanya bersebelahan turun padang bersama beberapa agensi menyelesaikan isu projek ‘gajah putih’ yang menyeramkan itu.

Baca juga Pesakit psikiatri juga dirai sempena Maulidur Rasul

Baca juga Biarpun 11 tahun tregedi tsunami berlalu, lelaki ini menyelam tiap hari dengan harapan jumpa mayat isteri