Sanggup heret anak bini dalam jerangkap samar – Ini nasihat warganet elak guna tayar botak kilat

Oleh ARIF ATAN

Jangan sanggup bawa anak bini dalam kereta dengan keadaan tayar botak kilat yang diibaratkan seperti jerangkap samar.

Itu antara nasihat warganet susulan perkongsian gambar keadaan tayar yang botak teruk sekaligus mengundang risiko tinggi menjadi punca kemalangan jalan raya.

Kegagalan tayar untuk berfungsi dengan baik walaupun salah satu daripadanya bukan sahaja membahayakan pemandu dan penumpang, tetapi juga pengguna jalan raya lain.

Ini memandangkan tayar merupakan komponen paling signifikan bagi sesebuah kenderaan kerana ia satu-satunya bahagian yang menghubungkan antara kenderaan dan permukaan jalan.

Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat keadaan tayar yang botak itu mencerminkan pemilik kereta tersebut sedang menghadapi masalah kesempitan wang.

“Itu maknanya tuan punya kereta tiada duit. Kita tak tahu apa masalah dia. Kalau dia ada duit, takkan dia nak bahayakan diri sendiri,” kata seorang netizen yang dilihat cuba bersangka baik.

Bahkan, ada juga mengaku pernah mengalami situasi sama memandangkan wang yang berbaki cukup-cukup untuk membeli susu anak.

“Saya pernah jadi macam ni (pakai tayar botak teruk). Kalau duit susu dengan tayar, baik beli susu,” ujar seorang bapa muda.

Namun, rata-rata warganet menyifatkan bahawa masalah kewangan bukan alasan untuk berkompromi dengan soal berkaitan keselamatan nyawa sendiri lebih-lebih lagi nyawa orang lain.

Ada yang berpendapat sikap menyimpan sedikit-sedikit wang boleh membantu pemilik kereta untuk sekurang-kurangnya membeli tayar terpakai.

“Itulah mentaliti kita. Asyik cakap tiada duit tapi heret anak bini dalam jerangkap samar ni.

“Tayar botak ni bukan hari ni ada bunga esok terus botak licin. Dah tahu tayar dah nak botak, simpanlah sikit-sikit buat beli tayar baru,” nasihat pengguna Facebook, Khairul Maryana Tales.

Malah, tindakan nekad menggunakan tayar yang sudah tidak selamat juga akan lebih merugikan pemilik kenderaan sekiranya dikenakan tindakan saman.

“Nak jadi tahap kilat macam ni makan masa. Takkanlah sentiasa tiada duit walaupun nak beli tayar terpakai sekalipun.

“Nyawa jangan buat main. Silap-silap kena tahan roadblock. Boleh kena saman sebab keadaan kenderaan tidak dalam keadaan selamat. Melayang duit lagi bayar saman,” kata warganet lagi.

Baca juga Badan dah kecut punca Noki sudah jarang ‘belanja’ badan

Baca juga Dihidang hanya mi kosong dengan sos ikan – Ini sebab pengetua tadika dipenjara 50 tahun