Belum lagi sampai hari pembuangan undi, cakap-cakap berhubung pembentukan kerajaan campuran sudah pun kedengaran.
Setiausaha Agung Pas, Takiyudin Hasan sudah menyatakan kesediaan PN untuk membentuk kerajaan dengan BN jika gabungan politik yang disertai Pas itu gagal mendapat majoriti mudah.
Ketika pemimpin utama Umno mengambil sikap membisu, Pengerusi PN Mahiaddin Md Yasin menafikan kenyataan Takiyudin sambil berkata pemimpin Pas itu tidak diberi mandat bercakap bagi pihak PN.
Lain halnya pula dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.
Walaupun berkata partinya rela menjadi pembangkang jika PN gagal mendapat majoriti mudah, beliau tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan pemimpin Umno “yang bersih”.
Mengambil kira keakraban Abdul Hadi dengan bekas PM, Najib Razak (yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa), juga dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi (yang sedang menghadapi 42 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa), istilah “pemimpin bersih” Abdul Hadi mudah difahami.
Ketika diminta mengulas kenyataan Takiyuddin pada kempen PN di Cheng, Melaka, 15 Nov lalu, Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan membentuk kerajaan dengan “pemimpin Umno yang bersih” walaupun mendakwa Pas sanggup menjadi pembangkang kerana sudah berpuluh tahun berada pada posisi itu.
Apa yang menarik adalah ulasan Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki di media sosial yang menyifatkan Pas ‘bijak’ mencatur politik apabila bertanding atas logo sendiri di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menurut Asyraf, dengan keputusan itu Pas tidak terikat dengan PN jika mahu menjalinkan kerjasama dengan BN khususnya bagi calon-calon parti yang menang di tiga negeri tersebut.
Soalnya, adakah PN-BN benar-benar serius membentuk kerajaan campuran ketika Mahiaddin beriya-iya menafikannya
Pengalaman yang dilalui tiga parti itu selepas Langkah Sheraton tidak menolak kemungkinan tersebut.
Walaupun akhirnya dikhianati Umno cuma selepas setahun empat bulan menerajui kerajaan, Bersatu yang diterajui Mahiaddin tetap mengundi Ismail Sabri daripada Umno sebagai ganti PM.
Pas yang pada awalnya kecewa dengan permainan politik Umno turut memberi sokongan kepada Ismail sebagai PM.
Hubungan tegang ketiga-tiga parti ekoran episod penyingkiran Mahiaddin tidak menghalang mereka berkongsi kuasa dengan Kabinet bersaiz mega. Semuanya demi kuasa dan keenakan berada di puncak kuasa.
Jadi hasrat PN untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang ‘stabil dan bersih’ sebenarnya hanya slogan kosong kerana apa yang lebih penting untuk gabungan politik itu adalah mengekalkan kuasa.
Tiada bezanya BN dan PN dalam soal ini. Mereka sebenarnya serupa walaupun nampak berbeza.
Satu undi untuk PN samalah macam mengundi BN. Berwaspadalah!
Baca juga: Telinga pekak sebelah lepas turun dari pesawat, setelah lima tahun lelaki ini baru tersedar rupanya…
Baca juga: Jika berjaya bentuk kerajaan, PH akan siasat Mahiaddin belanja RM500 bilion wang negara