‘Saya minta mereka dipecat serta-merta’ – Anwar ulangi tiada tolak ansur kalau menteri rasuah

Oleh ARIF ATAN

“Saya kata ‘no corruption’. Saya bercakap dengan Ketua Parti komponen… kalau ada (rasuah) semasa pentadbiran saya, saya minta mereka dipecat serta-merta. Saya tak tolak ansur.”

Itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian menekankan tata kelola yang baik dalam kerajaan dan tidak akan berkompromi sama sekali dengan rasuah.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan bahawa hal tersebut bukan kenyataan politik.

“Saya dihumban ke penjara, dipukul setengah mati, dah lama terseksa… bukan untuk mendabik dada, menang dan menjadi Perdana Menteri.

“Tapi ini semua ujian Allah. Saya selalu sebut, kita hanya terima ujian kecil tapi untuk mengajar kita, mendewasakan kita. Ya, ujiannya kecil tapi ada pengajarannya,” kata Anwar.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian ketika berucap ketika mengadakan pertemuan mahabbah bersama Ulama dan Asatizah di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya lewat petang tadi.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bagaimana sistem dan institusi kenegaraan terjejas apabila semangat Perlembagaan dikhianati.

“Apa pengajarannya? Kita tahu apa erti susah. Kita tahu apa erti sakit dipukul badan kita padahal kita tak bersalah.

“Kita tahu bagaimana kegiatan pasukan keselamatan, pendakwaan dan hakim sekiranya tidak patuh pada keluhuran Perlembagaan,” kata Anwar lagi.

Baca juga Akibat tolak ajakan bertemu 11 malam, wanita 21 tahun diugut sebar video intim

Baca juga Tukang gunting rambut terbang ke Qatar, demi tugas memotong rambut pemain bola sepak