Malaysia Dateline

Saya rindu zaman Dr Mazlee jadi menteri, kata Cikgu Fadli

Selepas dua tahun lebih kerajaan Pakatan Harapan dijatuhkan, seorang guru yang kini sangat popular Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh berkata, beliau rindukan zaman Dr Mazlee Malek menjadi Menteri Pendidikan.

Menurut beliau dalam program “Jom sembang isu pendidikan jom”, kejatuhan Dr Mazlee dan naiknya regim lama telah membawa perubahan besar semula kepada sistem pendidikan di negara ini.

“Budaya lama berkembang balik dalam KPM, budaya yang bersifat hukuman, budaya sesiapa menegur KPM akan dikenakan tindakan,” kata Cikgu Fadli.

Menurut Cikgu Fadli, dia sendiri dikenakan tindakan kerana menegur KPM dalam tindakan mereka ketika PKP berlangsung.

“Bila naiknya Radzi Jidin, KPM terus jadi autokratik atau komunis,” kata Cikgu Fadli yang bagi beliau jauh berbeza dengan sikap KPM ketika Dr Mazlee menjadi menteri.

Bagi beliau, kelebihan pendidikan di zaman Dr Mazlee adalah demokrasi dalam pendidikan di mana sesiapa saja bebas memberikan pendapat tanpa dibayangi hukuman.

“Bila peralihan kepada Dr Mazlee, KPN sangat terbuka. Saya tak pernah lihat lagi sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana guru yang mengkritik KPM.

“Dia mendengar, di sini mahalnya beliau,” kata Cikgu Fadli yang menceritakan bagaimana Mazlee memanggil pengkritik untuk bertemu dengan beliau di pejabat Menteri Pendidikan termasuk beliau sendiri.

Menurut Cikgu Fadli, sesiapa yang kondem, dia panggil ke pejabat menteri.

“Saya sendiri dipanggil oleh Dr Mazlee dan saya kritik KPM kerana jumlah bilangan murid yang terlalu ramai dalam satu kelas. Saya cadangkan sekolah mula dibina termasuk dalam banguna-bangunan.

“Ini sangat bagus, kita perlukan orang yang macam itu. Dia ahli akademik yang mendengar walaupun benda itu menentang beliau,” kata beliau dalam siaran langsung yang ditonton oleh hampir 30,000 penonton itu.

Cikgu Fadli bercakap secara langsung selepas beliau menerima surat tunjuk sebab untuk dipecat atau diturunkan pangkat.

Menurut Cikgu Fadli, beliau juga antara berpuluh-puluh aktivis sosial media yang dipanggil oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan tertutup di KLCC.

“Saya tegur Tun dan meminta beliau jangan politikkan pendidikan. Jadikan macam Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu pendidikan ini di bawah raja bukan bawah orang poltik,” kata Cikgu Fadli kepada perdana menteri ketika itu.

Cikgu Fadli menjadi popular apabila beliau menerima surat tunjuk sebab dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertajuk “Tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat” yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia kepada beliau.

Surat itu dijawab dengan penjelasan panjang lebar dari beliau dan menyebabkan Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin menjawab dan memanggil beliau untuk bertemu.