Malaysia Dateline

Sebab apa Takiyuddin kena pancing BN untuk tumpang jadi kerajaan?

Kerana pemimpin utama Bersatu kini berada di hujung tanduk antara sebab Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan kena pancing BN untuk tumpang menjadi kerajaan, demikian menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, kenyataan Takiyuddin Hassan semalam ternyata memberi gambaran Pas tidak begitu yakin Perikatan Nasional (PN) boleh membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ini kerana menurut Shabery Cheek pemimpin utama Bersatu kini berada di hujung tanduk di mana Tan Sri Mahiaddin mungkin akan kalah di Pagoh.

Katanya, Mahiaddin pada PRU14 lalu bergantung kepada undi Cina kerana waktu itu beliau berada dalam Pakatan Harapan.

“Kini mereka (Cina) akan tetap dengan PH atau BN. Pas lemah di sana tak boleh bantu sangat. Dulu pun (PRU14) Pas hilang deposit,” katanya.

Selain itu katanya, orang nombor dua Bersatu iaitu Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pun akan susah di Tambun di mana lawannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Naib-naib Presiden, Radzi Jidin pun susah di Putrajaya, Ronald Kiandi pun susah di Beluran, GRS tak terima. Rafiq pun tak bertanding, letak jawatan, keluar parti.

“Semua pemimpin BN, dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden berada di kawasan selamat (Insyaallah). Semua ada pengalaman memimpin kerajaan,” katanya lagi.

Jelasnya Pas sendiri tidak boleh menawarkan tokoh boleh jadi Perdana Menteri hanya bergantung kepada orang Bersatu.

“Tapi kalau semua mereka dari Bersatu tewas dengan siapa nak bergantung?

“Sebab itu sahabat saya Takiyuddin kena pancing BN untuk tumpang jadi kerajaan.Apa macam?” soalnya.

Semalam Takiyuddin menyatakan kemungkinan PN akan bergabung dengan BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU15, kemudian menegaskan pula bahawa bukan PN sebaliknya Pas yang akan bergabung dengan BN.

Baca juga: Takiyuddin tidak pernah diberi mandat untuk berunding dengan BN bentuk kerajaan-Mahiaddin

Baca juga: PRU-15: “Saya akan buat ucapan penutup bagi seluruh negara di Tambun” – Anwar