Malaysia Dateline

Sebelum ambil mana-mana kes, peguam patut tahu dia boleh kendali kes atau tidak – Majlis Peguam

Sistem keadilan negara sedang disalahguna dan dihina melalui tindakan terburu-buru barisan peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak apabila dilihat melakukan banyak percubaan menangguhkan pendengaran kes dengan permohonan menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah, berkata, seorang peguam mesti mempunyai pendirian yang tepat sama ada mampu mengendalikan sesuatu kes atau tidak sebelum memutuskan untuk mengambil alih kes itu.

Badan guaman itu berpendapat, apabila seorang peguam baru mengambil alih sesuatu kes, peguam itu mesti mematuhi Peraturan 6 (a) Profesion Guaman (amalan dan etika) (LPPER) yang menyatakan bahawa seorang peguam bela dan peguam cara tidak boleh menerima sebarang kes melainkan dia semunasabahnya pasti boleh hadir dan mewakili klien pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Najib Razak

Keduanya, peguam baru juga mesti mematuhi Peraturan 24(a) LPPER yang memperuntukkan bahawa seorang peguam bela dan peguam cara hendaklah berusaha sedaya upaya untuk bersedia pada hari yang ditetapkan.

“Sementara bekas perdana menteri mempunyai hak melantik peguam baru untuk mengambil alih kes walau apa pun alasan, dia juga perlu berhadapan risiko kemungkinan mahkamah tidak semestinya akan membenarkan sebarang permintaan penangguhan kerana peguam yang mengambil alih kes mesti bersedia untuk meneruskan mana-mana tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Pada masa yang sama, klien yang membubarkan peguamnya atau peguam ingin menarik diri dari mewakili kliennya, masih lagi tertakluk kepada kawalan keseluruhan dan budi bicara mahkamah sama ada membenarkan pembubaran tersebut.

“Ringkasnya, ia bukan kelayakan automatik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu jelas Karen, percubaan untuk menggugat sistem keadilan melalui strategi tidak bertanggungjawab adalah penyelewengan terhadap sistem keadilan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

“Peguam bela dan peguam cara yang terlibat dalam mempamerkan sikap tidak profesional, perlu dikenakan tindakan tatatertib.

“Tindakan Najib sangat jelas mahu melakukan satu lagi penangguhan apabila secara mengejut telah membubar pasukan peguamnya menjadikannya kali kedua dia menggunakan taktik sedemikian.

“Keputusan untuk mengubah barisan peguam pada saat-saat akhir disebabkan oleh dirinya sendiri. Oleh itu, sebarang ketidakadilan yang dikatakan sebenarnya ditimbulkan oleh dirinya sendiri,” tegas Karen lagi.

Baca juga: Caj teh o ais RM5, kedai makan kayangan dekat PD dikenakan kompaun serta merta

Baca juga: Kisah ‘influencer’ disaman lepas kongsi gambar bilionaire buat kebajikan, tapi orang kita kalau kaya lain pula perangainya