Malaysia Dateline

Sebelum ini ‘undi BN,PH masuk neraka’ kini mahu ‘sembelih kafir harbi’ pula

Selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Md Yassin terpaksa memohon maaf ekoran kenyataan pemimpin Pas bahawa undi BN dan PH masuk neraka, kini isu mahu sembelih kafir harbi pula menjadi masalah kepada PN.

Hampir kesemua pemimpin PN yang ditemui media mengenainya terpaksa menjarakkan diri mereka dari kenyataan provokatif itu.

Bercakap kepada pemberita di Tambun, Perak malam tadi Ketua Perikatan Nasional Perak Ahmad Faizal Azumu berkata dia tidak “merelakan” kenyataan sedemikian.

“Tidak, tidak, tidak, kami sebagai satu parti PN yang meliputi pelbagai bangsa. Kita hormati kehidupan beragama dan patut raikan perbezaan yang ada.

“Perkara itu mesti wajib kita, rakyat Malaysia pertahankan. Jadi saya tolak dan tidak boleh terima kenyataan sebegitu,” katanya.

Sekarang ini tersebar klip video yang menggambarkan selebriti Zul Huzaimy berkempen atas tiket Pas yang dikatakan berlaku di Kemaman, Terengganu.

Zul Huzaimy yang terkenal dengan nama Spark itu menyatakan terdapat dua jenis kafir – dhimmi dan harbi.

“Sekarang ini ada parti-parti yang bekerjasama dengan kafirun. Jagan percaya sangatlah,” kata beliau.

Walaupun kafir dhimmi harus dilindungi kerana mereka menyokong pemerintahan Islam, Zul Huzaimy berkata layanan yang sama tidak perlu diberikan kepada kafir harbi.

Katanya, hasratnya adalah untuk menyembelih kafir harbi dan hanya undang-undang yang menghalangnya daripada berbuat demikian.

“Yang harbi ni. Dok reti bahasa ni. Buat apa ni? Kalau saya ni, kalau ikut darah panah saya, hoh! Banyak dah saya sembelih. Sungguh. sama gak dengan saudara-saudara betul tak? Sebab kita pikir ada undang-undang di negara kita. Betul tak?

“Zimmi ni kita kena jaga sebab dia menyokong pemerintahan kita. Ini yang kita hendak,” katanya.

Zul Huzaimy dipercayai membuat kenyataan itu semasa satu majlis di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Dua hari lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Mahiaddin Md Yassin, memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan pengundi ‘masuk api neraka’ jika memilih Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Muhyiddin berkata, seharusnya semua pemimpin PN mengelak daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana boleh menimbulkan salah faham.

BACA JUGA Pemimpin Pas mohon maaf lepas kata undi PH, BN masuk neraka

JUGA Bila Anwar akan jadi PM soalan popular di luar negara, kata bekas Menteri Luar Anifah Aman