Malaysia Dateline

Bayangkan jika RM6 bilion dibelanja pada nelayan, 20 ribu bot boleh dibeli untuk nelayan miskin

Masih banyak kerja perlu dilakukan untuk merungkai skandal membabitkan isu Kapal Tempur Persisir (LCS) yang dilaporkan tiada satu pun kapal telah siap walaupun sejumlah RM6 bilion telah dibayar oleh kerajaan Malaysia.

Bayangkan jika RM6 billion ini dibelanjakan untuk kepentingan nelayan yang merupakan antara golongan termiskin di Malaysia. Pasti sekitar 20,000 buah bot baru boleh dibahagikan kepada nelayan miskin jika pembinaan bot hanya dianggarkan sekitar RM300,000 sebuah.

Demikian pendapat Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang mengaitkan realiti pekerjaan golongan nelayan yang selama ini berhadapan dengan pelbagai risiko di laut dan pendapatan tidak menentu untuk menyara hidup.

Baginya, jika RM6 bilion ini dibelanjakan pula untuk sebuah bot laju peronda polis moden bernilai RM1 juta sebuah, pihak berkuasa pasti sudah memiliki 6,000 bot peronda laut untuk menjaga keselamatan nelayan.

Ini katanya dapat mencegah tangkapan ikan secara haram oleh nelayan asing. Bahkan nelayan juga dapat terlindung dari ancaman nelayan ganas bersenjata serta lanun dari negara jiran Vietnam dan Thailand.

“Mungkin serangan Tentera Sulu seperti berlaku di Lahad Datu dapat dielakkan dan nelayan serta rakyat menjadi lebih selamat.

“Bukankah ini usaha mulia membela nelayan yang dhaif yang amat perlukan bantuan kerajaan?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Malangnya Raja Kamarul berkata, RM6 billion telah dibelanja tanpa mendapat apa-apa kemudahan dan keselamatan rakyat dan negara terus terancam di laut.

Sebelum ini katanya, kerajaan juga telah berbelanja berbillion ringgit juga mendapatkan kapal selam Scorpene yang sering rosak dan sehingga kini tidak tahu apa fungsi dan tugasnya.

“Tragedi pembaziran mega sebegini berulang berkali kali tanpa keinsafan dan kebijaksaan yang dipelajari. Kesalahan ‘jenayah’ sama berlaku berulang kali tetapi tiada penjenayah dihukum di Malaysia sehingga hari ini.

“Sementara pemimpin kita sibuk menggadai kekayaan negara, nelayan kita terus bergadai nyawa di lautan luas yang bergelora menyara hidup keluarga yang kekal dhaif.

“Pemimpin kita hari ini tidak menghayati degupan jantung serta nadi rakyat seperti nelayan yang makin susah, kerana kuasa yang mereka miliki adalah segala galanya untuk kepentingan dan kekayaan sendiri,” katanya lagi.

Baca juga: Baju sekolah nipis, jarang, bapa sedih dengan kualiti baju sumbangan untuk pelajar

Baca juga: Perasuah di negara kita dipandang mulia, pemuda di Sweden ini saksi kelas pekerja dihormati