Malaysia Dateline

“Selagi ada umur saya bersyukur je” – Bateri jantung Bob Lokman tinggal 10 peratus sahaja

Pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman memberitahu bahawa keadaan jantungnya hanya tinggal 10 peratus sahaja lagi.

Beliau berkata, kesihatan dirinya berada dalam keadaan tidak berapa baik dan hanya bergantung kepada alat bantuan jantung kombinasi bateri iaitu Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).

Bagaimanapun, rawatan susulan tiap tiga bulan sekali tetap diteruskan bagi memantau tahap kesihatannya selain bergantung kepada ubat-ubatan diberikan hospital.

“Saya kini berada di rumah dan tidak berapa sihat. Keadaan jantung saya juga kini tinggal 10 peratus sahaja lagi.

“Selagi bateri ini tidak mati, selagi itu saya bernafas. Apabila sudah sampai ajal, habislah. Tunggu waktu sampai sahajalah.

“Selagi sempat, selagi itulah kita mencari kesempatan untuk menjadi lebih baik,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Pelakon filem Iskandar itu menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, sejak 1 Oktober tahun lalu, berikutan jantung pada bahagian atas tidak berfungsi dengan baik.

Pelakon itu bagaimanapun menitipkan kesyukuran dan hanya berserah kepada keajaiban kepada kuasa tuhan terhadap dirinya.

“Jantung ini seperti bateri, walau setiap hari cas pun, makin lama makin kurang juga.

“Itulah, kita boleh jangka apa, ia sentiasa berjalan dan bergerak. Badan pula gemuk, banyak yang tidak sihat. Jantung tidak kuat, namun perlu banyak juga menggunakan jantung.

“Tidur pakai jantung, makan dan buang air pun pakai jantung. Jadi, semakin teruk jantung itu. Tidak boleh nak jangka apa, cuma bersyukur sahaja. Selagi ada umur, saya bersyukur sahaja,” katanya.

Pada April lalu, Bob Lokman terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ([email protected]) di Kuantan, Pahang ekoran kesihatannya kembali menyusut akibat masalah buah pinggang.

Baca juga: Jurucakap nafi Johnny Depp bakal kembali dalam ‘Pirates Of the Carribean’, dakwa ia hanya rekaan

Baca juga: Guan Eng’s trial: Witness agrees Zarul is someone who is willing to fabricate evidence