Kebelakangan ini timbul rasa kurang senang dalam kalangan orang awam apabila restoran segera popular, McDonald’s dikatakan telah menjadi lokasi ‘lepak’ untuk pelajar dan mahasiswa menyiapkan tugasan kuliah.
Mereka antara lain meluahkan rasa tidak puas hati apabila lambakan pelajar yang hadir bukan untuk makan, sebaliknya menjadikan restoran tersebut tempat untuk menyiapkan tugasan kerja sekolah.
Isu ini pernah beberapa kali disuarakan namun ia kekal menjadi perbincangan yang berlegar di media sosial sahaja.
Rentetan dari isu yang timbul, ada yang berpendapat sudah tiba masanya untuk perpustakaan awam dalam negara beroperasi 24 jam untuk kemudahan pelajar sekolah dan mahasiswa.
Ketika ini, kebanyakan perpustakaan hanya beroperasi kira-kira lapan jam seperti waktu pejabat iaitu pada jam 10 pagi hingga 6.45 petang, terutama Perpustakaan Kuala Lumpur.
“Pelajar selalu belajar sampai tengah-tengah malam tapi perpustakaan semua tutup pukul 5, kadang-kadang pukul 7 malam. Dekat universiti pun sama.
“Selagi perpustakaan kita tak buka 24/7, isu ini tak akan selesai,” kata salah seorang wargamaya yang menggunakan akaun @slainthayer_my.
Bagaimanapun tidak dinafikan beberapa perpustakaan di institut pengajian tinggi ada yang beroperasi 24 jam untuk kemudahan pelajar antaranya perpustakaan Universiti Malaya, Perpustakaan Tun Abdul Razak 1 (PTAR1) UiTM Shah Alam, dan perpustakaan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM)
Manakala perpustakaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula beroperasi sehingga jam 10malam, menurut maklumat para pelajar.
Namun isu utama yang diketengahkan mahasiswa adalah berkenaan ruang belajar yang terhad kerana kebanyakan mereka perlu berebut kerusi dan meja jika belajar di perpustakaan dalam universiti.
Larangan membawa makanan dan minuman di dalam perpustakaan juga mendorong para mahasiswa memilih untuk belajar di ruangan terbuka seperti di restoran segera.
Menurut individu ini, walaupun IPT menyediakan ruang kafeteria untuk mahasiswa, namun ia tidak menyelesaikan masalah sebahagian besar pelajar yang duduk di luar kampus.
Sementara itu, bagi seorang pensyarah, dia memberitahu hal sama dengan mencadangkan agar perpustakaan yang lebih longgar peraturannya dapat diwujudkan.
“Sebagai seorang pensyarah, kalau tanya pada pelajar kenapa (belajar di McD), sebab perpustakaan tak boleh makan, minum dan buat bising.
“Itu pasal mana-mana McDonald dekat dengan Universiti atau kolej, pasti akan jadi begini. Mungkin sudah sampai masa wujudkan perpustakaan dengan peraturan yang longgar,” kata @Putera_Sains.
Baca juga: ‘Pulanglah Abah, lama dah tu dekat London, jelaskan segera skandal RM92.5 bilion’