Malaysia Dateline

Selain dari Mat Sakau, Mat Blurr juga berbahaya pada organisasi

Saya sudah beberapa kali menulis berkenaan bahayanya Mat Sakau kepada mana-mana organisasi. Mat Sakau ialah manusia yang menyalah gunakan jawatan dan kedudukan untuk kepentingan dirinya, keluarganya dan puak-puaknya sahaja. Jika nampak macam dia ambil berat juga kepada orang lain, itu hanyalah lakonan.

Mat Blurr pula ialah orang yang tidak mempunyai ilmu, pengalaman dan kemahiran yang cukup bagi kedudukan dan jawatan yang didudukinya. Walaupun di atas kertas dia mungkin ada kelulusan akademik, namun apa yang dipelajarinya tidak ada kena mengena lansung dengan jawatan yang dipikul dan dia tidak mampu untuk belajar dengan cepat.

Lagi pun, organisasi perlu ditadbir, diurus dan dipimpin. Kelayakan akademik sahaja belum menentukan kemampuan seseorang untuk menjadi pentadbir, pengurus dan pemimpin yang baik. Ini adalah kerana semua ini melibatkan pembentukan pelbagai polisi, strategi dan pemantauan pelaksanaan.

Jika Mat Blurr tak boleh memahami ini semua, habislah dia kena goreng dengan orang lain. Akhirnya Mat Blurr akan bersetuju sahaja dengan apa yang di cadangkan tanpa memahami apa yang dia persetujui itu.

Mat Blurr boleh melantik penasihat untuk membantunya di dalam kerjanya. Jika dia memilih penasihat yang baik, إن شاءالله dia boleh dibantu untuk membuat keputusan yang lebih baik.

Namun, oleh kerana dia blurr, nak membezakan di antara penasihat dan ‘punahsihat’ pun mungkin susah. Jika terambil punahsihat untuk memberi nasihat, punahlah juga.

Ada juga Mat Blurr yang mempunyai ego yang tinggi. Walaupun dia tak faham dengan perkara yang berada di depan matanya, dia tetap nak memberikan arahan yang bodoh kepada orang yang lebih pandai dan berpengalaman.

Mat Blurr akan lebih menggunakan naratif, sesuatu perkara yang tidak perlu berpijak di bumi nyata, untuk menampakkan dia pandai. Jika orang yang bijak dan pandai takut kepada Mat Blurr di atas kedudukan dan kuasa Mat Blurr, organisasi akan akhirnya hancur jika arahan boleh itu diikuti.

Tentunya anda akan bertanya macam mana Mat Sakau dan Mat Blurr boleh diberikan jawatan dan kedudukan yang tinggi?
Di dalam dunia ini, ada kedudukan dan jawatan yang didasarkan kepada pemilihan, bukannya lantikan yang ada sistem dan proses yang ketat.

Di dalam pemilihan, Mat Sakau dan Mat Blurr boleh meyakinkan pemilihnya melalui pidato, pemberian kebajikan dan memainkan emosi yang semua ini mungkin tidak ada kena mengena dengan kerja yang bakal ditanggung oleh mereka.

Sekali lagi saya nak ingatkan, Mat Sakau dan Mat Blurr bukannya orang yang bodoh. Mereka boleh menunjukkan ijazah yang bersusun. Mereka boleh berpidato dengan hebat. Apa yang menjadikan mereka Mat Sakau dan Mat Blurr ialah apabila mereka diberikan jawatan dan kedudukan. Satu menyalah gunakan jawatan dan kedudukan, satu tidak mempunyai ilmu, pengalaman dan kemahiran bagi jawatan dan kedudukan itu.

Dua-dua Mat Sakau dan Mat Blurr ini berbahaya untuk mana-mana organisasi.

Oleh itu orang yang ada peluang untuk memilih ada tanggungjawab untuk melihat rekod orang-orang yang mahu mereka pilih. Jika ada yang pernah memegang jawatan tetapi tak boleh nak ceritakan apakah pencapaian mereka selama ini, kemungkinan besar dia tu Mat Blurr.

Baca juga: Anwar gempur kubu Umno di Bagan Datuk, hantar panglima untuk kalahkan Zahid

Baca juga: Jambatan sementara pula ditenggelami air, penduduk Gua Musang semakin resah