Malaysia Dateline

Anwar gempur kubu Umno di Bagan Datuk, hantar panglima untuk kalahkan Zahid

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggempurkan kerusi yang ditandingi oleh Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

Tindakan Anwar ini dibuat ketika Perikatan Nasional (PN) berusaha untuk meyakinkan orang ramai konon Anwar mempunyai rundingan sulit dengan Zahid.

“Kita hantar panglima untuk lawan Zahid di Bagan Datuk. Kita kena menangkan Syamsul Iskandar di Bagan Datuk.

“Dulu dia pernah menang kalahkan gabenor dan ketua menteri Melaka Ali Rustam.

“Kalau kita solid sokong, Melayu solid, Cina dan India solid, kita akan buat sejarah di Bagan Datuk,” kata Anwar diiringi tepukan gemuruh ribuan orang yang memenuhi ceramah itu.

Orang ramai mendengar ucapan Anwar di Bagan Datuk.

Dalam ceramah itu, Anwar juga menegaskan dia tidak mempunyai sebarang rundingan dengan Zahid sebagaimana yang didakwa.

Menurut Anwar, beliau pernah cuba berunding dengan Umno sebelum ini tetapi sekarang sudah serik dan tidak sanggup untuk mengkhianati rakyat sebagai syarat untuk menjadi perdana menteri.

“Dahulu ada satu masa tu, 15 ahli parlimen Umno termasuk Zahid buat akuan bersumpah kepada Agong untuk sokong saya jadi perdana menteri.

“Tetapi malam sebelum ke istana, Najib hantar mesej tak boleh melainkan saya buat surat, lepaskan mereka dari masuk penjara.

“Kalau saya gila nak jadi perdana menteri, saya setuju sajalah, tetapi saya tolak.

“Sekarang saya bangga, saya tidak menjadi perdana menteri tak apa, saya pertahankan prinsip, kita janji kepada rakyat dan kepada Allah taala, kita tidak gadai prinsip,” kata Anwar di Bagan Datuk.

Anwar berkata, dia hantar panglima yang pernah kalahkan bekas ketua menteri Melaka di Hang Tuah Jaya dalam PRU lepas.

Anwar juga berkata, beliau rela jadi perdana menteri tepi sebagaimana yang disindir kepada beliau.

“Baik jadi PM tepi dari jadi PM yang curi, rompak wang rakyat,” kata Anwar.

BACA JUGA Calon PM saya Anwar Ibrahim, siapa calon PM awak, tanya Khalid kepada Johari

JUGA Sebelum ini ‘undi BN,PH masuk neraka’ kini mahu ‘sembelih kafir harbi’ pula