“Tak reti hormat ke?”- Pemuda terkilan rakan selamba minta sijil kematian adik sebab nak tipu ada hal kecemasan

Oleh KIM SYAZIE

Ahad lalu, seorang pengguna Twitter memuatnaik satu perbualan WhatsApp dengan seorang kawan yang membuatkan ramai terkejut. Pengguna tersebut yang bernama Asyraff meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan rakan yang tidak menghormati perasaan dirinya dan mereka sekeluarga yang baru kehilangan adik kandung.

Dalam perbualan WhatsApp yang dikongsi Asyraff, seorang individu selamba meminta surat kematian adiknya semata-mata kerana mahu memohon cuti kecemasan.

Difahamkan, Asyraff baru kehilangan seorang adik lelaki, Airul Ikmal Affizan. Dia meluahkan rasa kecewa dan mempersoal adakah individu tersebut tidak reti menghormati orang yang baru meninggal dunia.

Tambahan pula, keluarga arwah sendiri belum mendapatkan apa-apa maklumat tentang keputusan kematian dan masih menunggu panggilan dari pihak hospital ketika itu.

“Kalau kau ada emergency, kenapa nak pakai surat mati orang lain. Otak letak mana? Kau tak reti hormat orang baru meninggal ke? Kau ingat ni klinik ambil MC (surat cuti sakit) ke?

“Saya sebagai abang arwah bukan apa, saya rasa terkilan. Sebab kami sekeluarga pun belum dapat apa-apa result dari hospital. Tunggu panggilan,” luahnya.

Perkembangan terbaru, arwah adiknya sudah pun selamat dikebumikan.

Perkongsian tersebut benar-benar membuatkan ramai berang kerana sejak beberapa hari ini banyak pula kisah seperti ini berlaku dalam masyarakat.

Mereka merujuk kepada kisah di mana seorang pengguna media sosial yang baru sahaja kehilangan anak, namun menerima mesej dari orang tidak dikenali yang meminta baju anaknya jika dia mahu membuangnya.

Sementara itu, Asyraff menasihatkan orang ramai untuk menghentikan kecaman kepada rakan yang meminta sijil kematian adiknya kerana tujuan utamanya adalah memberi peringatan kepada semua untuk tidak menormalisasikan perkara sensitif seperti ini.

Ujar Asyraff lagi, adalah lebih baik jika individu itu bertanya khabar dengan cara yang betul dan bukannya terus menyinggung perasaan ahli keluarga yang baru kehilangan orang tersayang.

Baca juga: Polis siasat kes budak hampir kena culik di Genting Highlands oleh perempuan bertelekung

Baca juga: Lelaki maut tersepit, kereta rempuh pembahagi jalan