Malaysia Dateline

Polis siasat kes budak hampir kena culik di Genting Highlands oleh perempuan bertelekung

Sejak semalam tular satu video mendakwa seorang kanak-kanak hampir diculik oleh dua warganegara asing di Genting Highlands. Salah seorang penculik dikatakan berpakaian telekung dan cuba menyorok seorang kanak-kanak di bawah telekungnya.

Menerusi satu lagi klip video di TikTok, seorang lelaki yang mendakwa dirinya bapa kepada kanak-kanak yang hampir diculik tampil menjelaskan cerita sebenar.

Menerusi akaun bernama Jaffrule Zaffrule, dia mendakwa isterinya didatangi dua warga asing ketika dia bersama rakan ingin bermain permainan.

Sangkaan awal bahawa kedua-dua mereka mungkin ingin mencuri barang yang dijaga isterinya, tetapi sebaliknya wanita warga Pakistan bertindak menarik dan mendukung anaknya.

Katanya, dia tidak membuat laporan polis dan menyerahkan kepada polis bantuan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu dalam kenyataan pihak polis hari ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong memaklumkan telah mula menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan itu dibuat selepas dakwaan sindiket penculikan itu tular di media sosial sejak semalam.

Beliau memaklumkan bahawa pihaknya akan menghubungi pemilik akuan TikTok berkenaan bagi mendapatkan makumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

Tetapi buat masa ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan polis daripada pihak yang terlibat.

“Setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan daripada pihak terlibat (keluarga mangsa) tetapi pihak keselamatan Genting Highlands telah membuat laporan polis pada 19 September 2022 berhubung video yang tular.

“Polis memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga: Konsert Riuh Sokmo: “Tak dok beza Pas dengan Umno, serupo jah. Pas lagi teruk selindung balik kopiah”

Baca juga: Ustaz Ebit Lew bawa anak punk bersolat