Malaysia Dateline

Selepas 42 tahun makan gadis Belanda, kanibal Jepun tidak pernah dipenjara ini akhirnya mati

Selepas 42 tahun membunuh dan memakan seorang gadis Belanda, kanibal Jepun tidak pernah dipenjarakan ini akhirnya mati pada 24 November lalu.

Pembunuh Jepun, Issei Sagawa yang dikenali sebagai ‘Kanibal Kobe’ menemui ajal pada usia 73 tahun akibat radang paru-paru, lapor AFP.

Dia dikebumikan dalam upacara ringkas yang hanya dihadiri oleh saudara-mara, kata adik lelakinya dan seorang rakannya dalam satu kenyataan.

Sagawa menjalani tahun-tahun terakhir usianya bersama abangnya dan hanya berkerusi roda selepas mengalami beberapa masalah kesihatan termasuk strok.

Mengimbas tragedi pada 1981, Sagawa yang ketika itu belajar di Paris menjemput pelajar Belanda, Renee Hartevelt ke rumahnya.

Dia kemudiannya menembak pelajar itu di leher, merogolnya, dan akhirnya memakan bahagian badan mangsa selama beberapa hari.

Sagawa turut cuba membuang mayat Hartevelt di taman Bois de Boulogne sebelum ditangkap beberapa hari kemudian.

Issei Sagawa di rumahnya di Tokyo pada Julai 1992.

Dia mengaku jenayah kejam yang dilakukannya kepada polis tetapi dianggap tidak layak untuk dibicarakan oleh pakar perubatan Perancis pada 1983.

Ekoran itu, Sagawa ditahan di sebuah institusi psikiatri sebelum dihantar pulang ke Jepun pada 1984.

Tidak berdiam diri, keluarga Hartevelt menuntut supaya Sagawa didakwa di Jepun supaya ‘pembunuh itu tidak akan bebas’.

Setibanya di Jepun, dia diisytiharkan waras oleh pihak berkuasa negaranya, yang memutuskan Sagawa menghadapi masalah ‘anomali watak’ dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital.

Namun, pihak berkuasa Jepun tidak mendapatkan fail kes dari pihak Perancis dan menganggap kes itu tutup dan pembunuh berkenaan bebas.

Kekejaman sadis dilakukan Sagawa melonjakkan namanya apabila dia menceritakan kejadian pembunuhan itu secara terperinci dalam novel ‘Dalam Kabut’.

Malah, kisah pembunuhan tragis itu turut mencetuskan ilham terhasilnya novel ‘Surat dari Sagawa-kun’.

Karya ditulis novelis Jepun, Juro Kara itu memenangi hadiah sastera paling berprestij di negara itu pada tahun 1982.

Dalam masa sama, Sagawa dilayan seperti bintang apabila kerap diwawancara media tempatan dan antarabangsa beberapa tahun selepas dia pulang ke Jepun.

Dia dianggap seperti tidak menyesal dengan jenayah kejam dilakukannya.

Bahkan, Sagawa menghasilkan lukisan memaparkan wanita berbogel disiarkan dalam majalah tempatan.

Karya lukisannya kanibal itu pernah muncul dalam filem lucah selain menghasilkan buku komik manga yang menggambarkan jenayahnya dalam butiran grafik secara bersiri.

Turut menyiarkan kisah pembunuhan Sagawa ialah majalah Rolling Stones dan The Stranglers.

Baca juga Ekonomi dijangka meleset tahun depan – Cuba 6 tips ini untuk mula berjimat cermat

Baca juga Wanita cuba buka pintu pesawat pada ketinggian 11,000 meter, ditangkap polis