Selepas 6 jam memasang dan memacak 200 bendera Pakatan Harapan (PH) didapati telah dicabut dan dibuang ke dalam parit menunjukkan taktik kotor dan tidak bertamadun dalam pilihan raya.
Kejadian itu berlaku di sepanjang laluan Kampung Parit Kuari dekat Ayer Hitam, Johor.
Calon PH Parlimen Ayer Hitam Sheikh Umar Bagharib Ali menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata petugas yang memacak bendera menyedari kejadian itu sekitar 8 pagi semalam selepas enam jam dipasang.
“Kami amat kecewa terhadap sikap politik samseng sebegini dan mengutuk mana-mana pihak yang menggunakan taktik kotor serta tidak bertamadun dalam pilihan raya.
“Sikap ini mencalarkan demokrasi yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara sihat dan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga pihak berkuasa,” katanya.
Bagaimanapun, Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor mengarahkan petugas PH di Parlimen itu supaya tidak melakukan sebarang tindak balas di luar sempadan undang-undang pilihan raya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah ketika dihubungi berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung insiden itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerusi Parlimen itu akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandang Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dari Barisan Nasional (BN), Sheikh Umar dan calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Syafiq A Aziz.
Pada PRU lalu, Wee memenangi parlimen itu dengan majoriti tipis sebanyak 303 undi.
Baca juga: Aset bersih RM18 juta-Rafizi dedah macam mana dia boleh kumpul harta sebanyak itu
Baca juga: Cinta tak kenal siapa… netizen sangka pasangan ini anak dan bapa…