Malaysia Dateline

Selepas 60 peratus pelari denai mohon tangguh, MMTF 2022 dianjak seminggu lepas PRU15

Selepas 60 peratus pelari denai Malaysia Mountain Trail Festival (MMTF) 2022 membuat keputusan untuk menangguhkan acara ke tahun depan, pihak penganjur menganjakkan perlumbaan seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah program, Ewegene Tan menyifatkan penentuan tarikh pada 24 hingga 27 November itu sebagai “tidak mempunyai pilihan selain membuat keputusan yang menyakitkan”.

Menerusi kenyataan hari ini, dia berkata, jika perlumbaan merentas hutan di Bukit Larut, Taiping itu diteruskan pada 17 hingga 20 November, pihaknya gagal mencapai tujuan acara untuk memberikan pelari pengalaman lengkap ekoran penangguhan yang tinggi mencecah 60 peratus itu.

MMTF 2019 menyaksikan lebih 2,100 peserta dari 35 negara dalam empat kategori larian denai iaitu 13km, 25km, 55km dan 84km.

Dalam masa sama, jelasnya, pihak penganjur diminta oleh agensi kerajaan untuk memberikan komitmen mandatori bahawa tiada kejadian tidak diingini akan berlaku tanpa penglibatan mereka terbabit sepanjang perlumbaan jika mengikut jadual acara asal.

“Kami tidak dapat memberikan komitmen ini kerana dalam usaha memberikan pelari pengalaman larian denai yang sempurna, perlumbaan ini membawa pelari ke dalam Hutan Simpanan Hutan Dara (VJR).

“Justeru, risiko yang dikaitkan dengannya memerlukan kami dibantu oleh agensi kerajaan terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Perhutanan Malaysia semasa kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya lagi.

Dalam masa sama, jelasnya, semua permintaan penangguhan ke tahun 2023 adalah dibatalkan.

Sehubungan itu, rata-rata peserta tidak berpuas hati dengan keputusan pihak penganjur yang didakwa flip flop yang mengakibatkan banyak kerugian sama ada dari segi tempahan hotel dan/atau kapal terbang.

Pada 20 Oktober lalu susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan tarikh membuang undi, penganjur memaklumkan perancangan pada 19 November tetap diteruskan seperti dijadualkan.

Antara alasannya pada masa itu ialah kebanyakan pelari terutama lebih daripada 20 peratus dari luar negara telah membayar dan mengesahkan penerbangan dan penginapan mereka untuk tarikh tersebut.

Namun, keesokan harinya, penganjur menawarkan penangguhan untuk perlumbaan tersebut ke tahun 2023 dengan tempoh mengisi borang bagi tujuan itu sebelum 29 Oktober.

Alternatif penganjur itu ekoran rasa tidak puas hati ramai peserta termasuk mendesak acara itu ditangguhkan terlebih dahulu seperti dilakukan beberapa penganjur acara larian denai lain.

MMTF 2022 menyaksikan penyertaan lebih daripada 2,400 pelari bagi kategori Kilometer Menegak (VK) sejauh 5km, 13km, 25km, 50km dan 100km dengan yuran pendaftaran antara RM158 hingga RM478.

Baca juga Walau 20 peratus pelari luar negara, perlumbaan larian denai tetap diteruskan hari buang undi

Baca juga Anwar berhenti tidak sampai sehari bekerja, Najib dan Mahathir kemudiannya ceburi O&G