Pakar Bedah, Dr Amalina menasihatkan agar ibu-ibu yang baru bersalin untuk mengamalkan berjalan secara perlahan-lahan untuk mengurangkan risiko darah beku.
Dr Amalina dalam hantaran di Instagram, berkata, inilah sebabnya beliau mengambil pendekatan berjalan-jalan selepas bersalin kerana menurutnya wanita mengandung dan baru bersalin berisiko lebih tinggi untuk mendapat darah beku di kaki.
Seringkali berkongsi tentang kesihatan dalaman selepas bersalin, kali ini Dr Amalina berkongsi info tentang penyakit darah beku di kaki atau deep venous thrombosis (DVT) dan penyakit salur darah paru-paru tersumbat (pulmonary embolism (PE).
“Anda ingin tahu kenapa saya berjalan perlahan-lahan apabila mampu selepas bersalin? Jawapannya kerana saya ingin mengurangkan risiko darah beku.
“Tahukah anda wanita mengandung dan baru bersalin ada risiko lebih tinggi untuk mendapat darah beku di kaki (deep venous thrombosis – DVT) dan darah beku ini boleh pergi ke paru-paru yang menyebabkan pulmonary embolism (PE),” kata Dr Amalina.
Apakah simptom DVT di kaki?
1. Sakit, bengkak pada 1 kaki, biasanya di bahagian belakang kaki (betis)
2. Sakit mungkin lebih teruk apabila anda berjalan
3. Kulit merah, terutamanya di bahagian betis
Menurut Dr Amalina, jika darah beku itu pecah ke dalam aliran darah, ia boleh menyekat saluran darah di dalam paru-paru. Ini dipanggil PE dan memerlukan rawatan kecemasan.
Apakah simptom PE?
1. Mengalami kesukaran bernafas secara tiba-tiba
2. Mengalami sakit atau sesak di dada atau belakang
3. Batuk berdarah
Seorang ibu mengandung juga lebih berkemungkinan mendapat DVT pada mana-mana peringkat kehamilan sehingga 6 minggu selepas kelahiran berbanding orang yang tidak hamil pada umur yang sama.
Risiko seorang ibu mengandung mendapat DVT semasa kehamilan adalah lebih besar jika anda:
1. Anda atau ahli keluarga terdekat pernah mengalami DVT sebelum ini
2. Berusia lebih 35 tahun
3. Obesiti (BMI 30 atau lebih)
4. Pernah mengalami jangkitan teruk atau kecederaan serius, seperti patah kaki
5. Mempunyai masalah blood clots (trombofilia)
6. Sedang mengandung anak kembar atau multiple babies
7. Telah menjalani rawatan kesuburan
8. Menjalani pembedahan caesarean
9. Merokok
10. Mempunyai varicose veins yang teruk
11. Mengalami dehidrasi
Pada masa sama Dr Amalina memberitahu, mereka yang baru bersalin yang berisiko tinggi (contoh selepas Caesarean section) akan diberi suntikan untuk mengelakkan darah beku dan digalakkan memakai TED stockings, gerakkan kaki dan ibu jari kaki in circular motion untuk membantu pengaliran darah.
Bagaimana pula untuk mencegah DVT?
Menjawab persoalan ini, Dr Amalina menasihatkan ibu mengandung untuk mengekalkan berat badan yang sihat, selain kekal aktif dengan cara berjalan kaki.
Selain itu, amalkan pengambilan 2-3L air kosong untuk mengelakkan dehidrasi dan jangan duduk untuk jangka masa yan lama.
“Pastikan bangun dan bergerak setiap jam. Jangan menyilang kaki semasa anda duduk, ia boleh menyekat aliran darah.
“Jangan merokok dan jangan minum alkohol,” katanya lagi.
Baca juga: 36 jemaah umrah dibawa pulang, terkandas sejak 5 bulan lalu kerana terpedaya Imam Mahdi akan muncul
Baca juga: Anwar berhenti tidak sampai sehari bekerja, Najib dan Mahathir kemudiannya ceburi O&G