Selepas demo, pemaju projek perumahan di kawasan MB Terengganu masuk ke tapak binaan. Selepas kali kedua pembeli rumah Gong Cempedak, Marang, Terengganu membuat demonstrasi, pihak pemaju mula menjalankan kerja-kerja mereka di tapak pembinaan.
“Petang tadi saya dimaklumkan oleh wakil pembeli yang pihak pemaju telah membuat kerja kerja membina parit laluan air supaya air dari kolam yang berdekatan tidak akan melintasi kawasan pembinaan seperti yang saya dedahkan dalam video semalam.
“Setelah hampir setahun sejak saya suarakan isu perumahan Gong Cempedak ini, inilah kali pertama kerja kerja dibuat di sini!
“Saya percaya tindakan ini sedikit sebanyak memberi sedikit sinar buat pembeli yang datang semalam beramai ramai melihat dengan sayu rumah yang mereka beli dan membayar ansuran bulanan sejak 4 tahun lalu tiada sebarang perkembangan,” tulis Datuk Raja Kamarul Bahrin, Pengerusi AMANAH Terengganu.
Beliau turut hadir memberi sokongan kepada para pembeli yang mengadakan demonstrasi aman dua hari lepas bagi menuntut pemaju dan pihak kerajaan negeri tidak berdiam diri.
“Saya harap pihak pemaju jangan ambil mudah dan pihak kerajaan negeri melalui Exco Perumahan perlu lebih serius menangani masalah ini,” kata Raja Bahrin, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.
Semalam Raja Bahrin berkesempatan sekali lagi meninjau ke tapak projek perumahan fasa 3 di Gong Cempedak, Marang itu.
Projek ini telah tertangguh begitu lama dan sejak setahun lalu beliau telah mendesak agar kerajaan negeri mengambil tindakan kepada pemaju yang gagal menyelesaikan projek itu.
“Saya ingat lagi Ramadan tahun lepas YB Dr Alias Razak, Exco Perumahan Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan kerja kerja akan dilaksanakan selepas hari raya aidilfitri tahun lepas.
“Namun ironinya, itu hanyalah cakap semata mata kerana sehingga Ramadan tahun ini, langsung tiada sebarang kerja dilakukan disini,” kata beliau.
9 April 2022 lepas, para pembeli rumah Gong Cempedak membuat demo lagi bagi menuntut wakil rakyat mereka yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar agar membantu mereka.
Yang menarik juga, Ahli Parlimen mereka adalah Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Setahun lalu mereka telah membuat demo yang sama di depan pejabat MB.
Ekoran itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Terengganu, Dr Alias Razak berkata, projek itu akan dijalankan semula segera.
Namun selepas setahun berlalu, janji tinggal janji dan pembeli rumah ini masih menunggu projek rumah mereka diteruskan.
Baca juga: Pembeli rumah Gong Cempedak demo lagi, tuntut Adun yang juga MB Terengganu bantu