Malaysia Dateline

Selepas Jabatan Mufti Perlis gesa umat Islam waspada penceramah buat cerita bohong, Ustaz Wadi Annuar tampil bersuara

Selepas Jabatan Mufti Negeri Perlis menggesa umat Islam supaya berwaspada dengan sesetengah penceramah yang bersifat suka memfitnah, membuat cerita bohong untuk menimbulkan kebencian dan salah sangka dalam kalangan Muslim; penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar tampil bersuara.

Menerusi kenyataannya hari ini, beliau menyifatkan tuduhan Jabatan Mufti Perlis itu sangat melampau kerana video tersebut adalah potongan daripada rakaman penuh video ceramahnya di Langkawi, Kedah, pada 2017 dan bukan ketika Ramadan sebagaimana didakwa pihak berkenaan.

Beliau dengan nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub menegaskan langsung tidak menyebut atau mengaitkan mana-mana negeri dalam negara ini, termasuk Perlis sebagaimana yang didakwa.

“Saya percaya kenyataan saya berkaitan isu sujud yang menjadi ‘subject matter’ dalam kenyataan jabatan itu adalah pandangan saya sebagai pendukung Mazhab Shafie.

“Saya selanjutnya menegaskan intipati video itu adalah berkaitan pandangan peribadi saya yang diulas berdasarkan pandangan ulama yang selari dan selaras dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta keseragaman amalan fiqah di Malaysia,” jelasnya.

Terdahulu, tular video Ustaz Wadi yang mendakwa bahawa Perlis mengeluarkan peraturan sujud dalam solat iaitu mendahulukan tangan sebelum lutut ketika hendak bersujud dalam solat walhal tiada sebarang peraturan berkenaan dikeluarkan.

Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Perlis dalam reaksinya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ustaz Wadi.

“Maka, Jabatan ini ingin menegaskan bahawa tiada peraturan yang seperti itu dikeluarkan di negeri ini. Kenyataan itu jika ditujukan kepada Perlis jelas adalah satu tuduhan jahat dan tidak berasas.

“Jika ada pendapat, mana jua penceramah di Perlis, itu bukan peraturan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri ini dan penceramah awam tidak mewakili pihak berkuasa agama,” dipetik dari kenyataan media jabatan itu.

Mengulas lanjut, Ustaz Wadi berpendapat tatacara sujud dalam solat dengan mendahulukan tangan sebelum lutut ketika hendak sujud, adalah khilaf dalam fiqah.

“Kita seharusnya menghormati dan meraikan semua pendapat muktabar dalam mazhab dengan tidak menyalahkan pendapat lain, serta meraikan suasana dan amalan solat mengikut aliran arus perdana di negara ini, iaitu Mazhab Shafie.

“Tujuan saya membuat ulasan sedemikian adalah untuk menyatakan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya mengutamakan pengamalan Mazhab Shafie selaku mazhab arus perdana, bagi memastikan keseragaman dalam amalan beribadah demi mencapai perpaduan dan mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.

“Saya dengan tegas menafikan dakwaan jabatan itu bahawa kenyataan saya melalui video terbabit bertujuan menimbulkan permusuhan sesama Muslim tanpa alasan yang sah,” tegas Ustaz Wadi.

Dalam masa sama, beliau berpendapat tindakan Jabatan Mufti Negeri Perlis yang hanya membuat penilaian mengikut video tersebut tanpa membuat semakan yang wajar dan terperinci, sebagai mengundang fitnah, menimbulkan kebencian serta salah sangka dalam kalangan masyarakat terhadapnya.

“Saya percaya adalah sangat wajar untuk jabatan itu bersikap profesional dengan memperbetulkan semula persepsi negatif yang timbul daripada kenyataan itu, supaya kepercayaan masyarakat awam apatah lagi terhadap sebuah jabatan yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan fatwa dan irsyad, dapat dikekalkan,” kata Ustaz Wadi lagi.

Baca Surat terbuka kepada Mufti Perlis