Malaysia Dateline

Selepas Jeli, giliran Kuala Krai pula dilanda bah

Banjir yang melanda Jeli kini ‘berjangkit’ ke Kuala Krai ekoran hujan lebat berterusan sejak semalam.

Setakat 3.11 petang, seramai 108 mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka mulai jam 2.30 petang tadi.

Tiga PPS terbabit adalah Masjid Chuchoh Puteri A, Madrasah Chuchoh Puteri A dan Pusat Komuniti Chuchoh Puteri A dengan masing-masing berkapasiti 100 orang.

Sementara itu, fenomena kepala air di Lata Berangin pagi tadi menyebabkan beberapa kampung berdekatan iaitu Lata Berangin dan Mengkebang, dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-rafee Parsimin dilapor berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan dan akan memindahkan mangsa dengan segera jika kediaman mereka dinaiki air.

Beliau sekali gus menasihati penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah, termasuk meletakkan dokumen penting dan barang berharga di tempat yang selamat.