Selepas mahkamah arah bayar kos RM11,000, warganet ‘sekolahkan’ ulama Pas ini

Oleh ARIF ATAN

Selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menolak saman fitnah dikemukakan Ahmad Dusuki Abd Rani terhadap Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa; warganet dilihat berduyun-duyun ‘sekolahkan’ ulama Pas itu.

Hantaran Ahmad Dusuki di Facebook mengenai ganjaran besar kepada individu yang melakukan solat jenazah nampaknya dibanjiri komentar dan sindiran orang ramai.

Pengguna Facebook yang menggunakan akaun atas nama Pakchu Al-kelantani menegaskan golongan agama yang dilabelnya Tok Lebai sebenar dan beriman tidak akan menipu dan mendukung fitnah.

“Masya-Allah. Adegan fitnah yang hidup menyubur pada masa kini telah diterajui dan dipelopori oleh kumpulan yang berperwatakan ala-ala lebai. Nauzubillahiminzalik,” tulisnya diikuti sebanyak 120 tanda ‘suka’ hanya selepas tiga jam dimuatnaik.

Sementara itu, Abdul Rahman Razali pula menasihatkan Ahmad Dusuki yang merupakan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulama Pas supaya tampil memohon maaf.

“Benda mudah saja ustaz. Kalau ustaz berjiwa besar, ustaz minta maaf dan tarik balik perkataan ustaz.

“Sementara kita semua ni hidup, mintalah maaf. Buang ego yang ada jauh-jauh. Tak jatuhlah maruah kerana memohon maaf atas kesilapan yang kita buat. Hakikat manusia itu berbuat silap,” nasihat Abdul Rahman lagi.

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menolak saman fitnah dikemukakan Ahmad Dusuki berhubung dakwaan isu penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam.

Ahmad Dusuki juga diarah untuk membayar kos sebanyak RM11,000 kepada Mujahid yang merupakan bekas menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Peguam Norazmir Zakaria yang mewakili Mujahid dalam kes itu memaklumkan bahawa saman fitnah oleh Dusuki difailkan ekoran ciapan Mujahid pada 22 November 2020 selepas tersebarnya video ceramah Ahmad Dusuki yang mendakwa aset TH dijual kepada orang bukan Islam.

Ciapan Mujahid itu adalah seperti berikut:

“Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Rentetan itu, Ahmad Dusuki yang juga bekas calon Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Baca juga Dr Mujahid menang saman fitnah, ulama Pas Dusuki Rani diperintah bayar kos RM11,000

Baca juga Lelaki paling tua di Jepun meninggal dunia pada usia 112 tahun