Malaysia Dateline

Semakin dekat sidang Parlimen, wakil rakyat pembangkang dibuli

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung dua pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berpendapat PN mengeksploitasi kuasa untuk menakutkan pihak pembangkang menjelang sidang Parlimen minggu depan.

“Setiap kali sidang Parlimen semakin mendekat, kerajaan ini (PN) akan menggunakan atau memperalat apa saja aparat yang ada untuk membuli ahli-ahli Parlimen, berkemungkinan kerana gentar sekiranya undi tidak percaya dilangsungkan,” tegasnya.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau menyifatkan pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Syed Saddiq sebagai berbentuk ancaman politik seperti yang dibangkitkan oleh beliau dan pembangkang mutakhir ini.

Anwar berpendapat aspek penegakan hukum di negara ini telah rosak apabila ahli politik yang rapat dengan kerajaan boleh bebas tanpa hukuman manakala pemimpin-pemimpin pembangkang serta pendukung mereka dikenakan dengan pelbagai pendakwaan terpilih.

“Babak terkini ini terus merobek kepercayaan dan keyakinan para pelabur terhadap Malaysia dalam keadaan negara hari ini yang kelam dan haru biru dengan ketidakabsahan pemerintah.

“Ia menggambarkan bahawa betapa badan atau jabatan penguatkuasaan hanya mengikut telunjuk politik,” tegas Anwar lagi.

Untuk rekod, Syed Saddiq yang juga Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang parti politik ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).