Malaysia Dateline

Semua rakyat patut terima RM1,500 setiap bulan tanpa diskriminasi

Pemuda AMANAH Nasional mengulangi saranan agar semua pekerja warganegara Malaysia menerima RM1,500 setiap bulan tanpa diskriminasi.

Pengarah Biro Ekonominya, Ammar Atan berkata jumlah itu terdiri daripada RM1,200 daripada pihak majikan manakala RM300 suntikan gaji khas daripada kerajaan untuk tempoh 12 bulan.

“Suntikan ini hanya untuk rakyat Malaysia dan tidak akan terpakai untuk perniagaan/sektor yang tidak terjejas teruk dalam tempoh pandemik dua tahun lepas, misalnya perbankan, sektor pembuatan getah dan E&E, antara lain.

“Cadangan Pemuda AMANAH adalah ‘win-win’ untuk pihak pekerja dan majikan. Cadangan kami juga lebih adil dan berperikemanusian berbanding dasar Kerajaan BN-PN bermula 1 Mei 2022,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Ammar Atan

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan balas Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahagian Pulau Pinang, K Veeriah berhubung cadangan kadar gaji minimum oleh Pemuda AMANAH pada 23 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Ammar berkata, dasar gaji minimum RM1,500 oleh kerajaan BN-PN pada masa ini telah mengecualikan golongan pekerja dalam perusahaan mikro.

Walhal, jelasnya, perusahaan mikro merupakan 78.6 peratus daripada keseluruhan sektor mikro, kecil dan sederhana dengan majoriti tenaga kerja adalah Bumiputera/Islam.

“Pengecualian yang diberikan ini sangat mendiskriminasi dan mengagalkan usaha memulihkan sosioekonomi rakyat berpendapatan rendah.

“Motif Pemuda AMANAH sangat jelas, bahawa kita tidak boleh mengabaikan sosioekonomi
rakyat miskin dan hal ehwal sektor perniagaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ammar yakin pihak MTUC akan bersetuju dengan Pemuda AMANAH dan dalam masa sama mengajak MTUC untuk bersemuka dan berbincang demi kebajikan golongan pekerja di negara ini.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Februari 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Belanjawan 2020.

Terdapat pihak industri tertentu menggesa agar kerajaan memberi kelonggaran dari segi pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Walaupun alasan kedudukan ekonomi kononnya tidak stabil untuk mewajarkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum, tetapi pada masa sama permintaan pekerja asing bagi fasa pertama sahaja sudah menjangkau lebih 500,000 permohonan.

Baca Pemuda AMANAH anggap dasar gaji minimum versi BN-PN dilaksana tanpa perancangan

Baca Tembakan dan letupan bom di Tak Bai sasarkan pihak berkuasa