Siapa pilihan di Parlimen Gombak?

Oleh KIM SYAZIE

Dalam PRU ke-14, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memenangi pilihan raya di kawasan Gombak atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi.

Dalam PRU ke-15 ini, beliau bertanding sekali lagi, namun atas tiket Perikatan Nasional dan berlawan dengan empat calon lain, iaitu Datuk Seri Amirudin Shari (PH), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin (BN), Aziz Jamaluddin (Pejuang) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).

Pertandingan ini sengit dan ramai menjangkakan Azmin menghadapi laluan sukar untuk menang. Betulkah begitu?

Majoriti pengundi Gombak seramai 207 ribu orang adalah Melayu (75%) dan selebihnya bukan Melayu. Seramai 11.3 ribu adalah pengundi berumur 18-20 tahun, 45 ribu (21-29 tahun) dan 48 ribu (30-39 tahun).

Tulisan ini tidak mengulas kecenderungan pengundi mengikut kaum atau umur, tetapi menilai persaingan antara calon PN dan PH. Siapa lebih berwibawa antara dua ini dan siapa yang wajar menang?

Biarpun Azmin telah menjadi Ahli Parlimen di kawasan ini selama dua penggal, kemunculan Amirudin Shari yang juga MB Selangor telah menggugat peluangnya untuk menang.

Amirudin adalah tokoh muda dalam politik negara. Berusia 42 tahun, beliau graduan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menyertai PKR pada tahun 2004, beliau adalah calon PKR untuk kerusi DUN Batu Caves (kini dinamakan Sungai Tua) pada pilihan raya umum ke-12. Beliau yang berusia 28 tahun ketika ini menang dalam PRU tersebut.

Sejak dilantik menjadi MB Selangor pada Jun 2018, beliau telah meninggalkan banyak jejak untuk Selangor

Semasa menghadapi pandemik, kerajan Selangor telah menubuhkan Selangor Task Force COvid-19 (STFC) sebagai badan pemikir bertujuan membantu kerajaan negeri menangani pandemik Covid-19.

Melalui STFC, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan seperti:

i. Membangunkan aplikasi SELangkah yang merupakan aplikasi penjejakan kontak bagi melengkapi fungsi yang tidak ada di dalam MySejahtera.

ii. Menggerakkan program saringan Covid-19 secara percuma di seluruh Selangor.

iii. Memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SELVAX) bagi mencapai imuniti kelompok warga Selangor.

iv. Memberi insurans perlindungan percuma kepada enam juta rakyat.

Dengan kecekapan pentadbirannya, kadar pertumbuhan ekonomi Selangor meningkat dari -5.2% pada tahun 2020 kepada 5.0% pada tahun 2021.

Setakat 10 Oktober tahun ini, Selangor mencatat pendapatan hasil sebanyak RM2.065 bilion lalu, mengatasi sasaran RM2.05 bilion yang ditetapkan.

Di era beliau jugalah diperkenalkan dua gagasan besar ekonomi: Klusterisasi Selangor serta Rancangan Selangor Pertama, yang menjadi landmark pembangunan masif ekonomi negeri Selangor yang mencakupi seluruh Selangor dari Sabak Bernam ke Sepang tanpa hanya menumpukan daerah industri di Petaling semata-mata.

Dengan pencapaiannya ini, satu yang terserlah ialah biarpun Amirudin MB muda, beliau terbaik.

Bukan sahaja beliau baik dari segi pengurusannya, tetapi juga mempunyai personaliti dan imej diri yang tidak tercalar dengan kontroversi.

Beliau bebas rasuah, low profile dan tokoh pemimpin muda yang akomodatif, terbuka dan disukai rakyat.

Kelmarin, semasa berkempen di Gombak, beliau mengumumkan akan menyumbangkan keseluruhan gajinya ke dalam Dana Komuniti Gombak untuk pemantapan infrastruktur tempatan, penyediaan rumah mampu milik, peningkatan sektor ekonomi tempatan, peluang pendidikan, dan pekerjaan bermaruah.

Amirudin adalah tokoh muda yang membanggakan. Dengan imej dan personalitinya dan kedudukannya, beliau perlu diangkat untuk mewakili kita di Parlimen. Beliau sosok pemimpin negara masa depan dan oleh itu perlu menang.

Baca juga: Aduhai! Nasib baik monyet ni tak cedera

Baca juga: Gara-gara baling telur pada Raja Charles, lelaki ini dilarang bawa telur di khalayak ramai