Malaysia Dateline

Siapa tokoh ulama Dr Yusuf Al Qaradawi? Hafal 30 juzuk di usia 9 tahun selepas 7 tahun yatim piatu

Perginya seorang tokoh ulama dunia Sheikh Yusuf Al Qaradawi membuatkan ramai bersedih, bagaimanapun ramai dalam kalangan kita tidak tahu fakta-fakta menarik tentang tokoh ini.

Semalam Profesor Dr Yusuf Al Qaradhawi telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun.

Walaupun dimusuhi beberapa negara, beliau telah pergi meninggalkan jutaan anak murid yang belajar secara langsung dengannya, atau menjadi penonton di rancangan TV beliau.

Walaupun jasadnya sudah tidak ada, khazanah ilmu beliau berupa lebih 100 kitab-kitab kekal akan menjadi rujukan zaman berzaman.

Qaradawi telah buktikan sebagai anak yatim dari keluarga miskin, beliau telah menjadi tokoh akademik dunia sehingga pernah disenaraikan oleh Majalah Foreign Policy sebagai Top 20 tokoh akademik paling berpengaruh di dunia.

Beliau diahirkan di Mesir pada tahun 1926 dalam keluarga yang miskin dan membesar sebagai anak yatim sejak usia 2 tahun selepas kematian bapanya.

Namun dalam kesusahan dan serba kekurangan berjaya menghafal 30 juzuk Al Quran ketika berusia 9 tahun dan menjadi pelajar terbaik di seluruh Mesir ketika dibangku sekolah.

Menyambung pengajian di peringkat Ijazah, Master dan PhD di Universiti Al Azhar. Tesis PhD beliau yang mengkaji Fiqh Zakat mendapat anugerah tesis cemerlang oleh Universiti Al Azhar.

Walaupun baru tamat pengajian di peringkat master, beliau telah dihantar oleh Al Azhar untuk berkhidmat sebagai Pengarah Institut Pengajian Islam di Qatar pada tahun 1962.

Beliau mengasaskan Fakulti Pengajian Islam di Qatar University dan menjadi dekan di fakulti tersebut selama 13 tahun (1977-1990). Selain itu beliau pernah berkhidmat di Algeria sebagai Pengerusi Scientific Council of Islamic University and Higher Education. Di Malaysia, UIA menganugerahkan tokoh akademik antarabangsa kepada Al Qaradhawi serta anugerah yang sama diperolehi oleh Sultan Brunei, Jordan dan King Faisal Saudi.

Al Qaradhawi menulis 120 buah buku akademik sepanjang hayatnya. Di antara yang masyhur dan menjadi rujukan dunia ialah Fiqh Zakat, Fiqh Jihad, Fiqh Kenegaraan, Fiqh Kesederhanaan dan Halal Haram dalam Islam. Rancangan televisyen beliau di TV Al Jazeera berkait Syariah dan Kehidupan ditonton oleh 40 hingga 60 juta orang di seluruh dunia.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau mengasaskan Kesatuan Ulama-Ulama Islam Se-dunia dan menjadi pengerusinya selama 14 tahun. Beliau juga menubuhkan Majlis Fatwa Eropah pada tahun 1997 yang berjasa besar dalam mengeluarkan fatwa-fatwa sebagai panduan kepada minoriti Muslim yang berada di benua tersebut.

8216Fiqh Keutamaan8217 atau selalunya disebut 8216Fiqh Awlawiyat8217 tengah terbitan ABIM adalah antara buku terawal Almarhum yang diterbitkan dalam bahasa Melayu

Ketika remajanya, beliau pernah mengikuti siri-siri syarahan pengasas pertubuhan Ikhwanul Muslimin Syed Hasan Al Banna. Penglibatan beliau dengan gerakan tersebut menyebabkan beliau pernah di penjara di usia mudanya sebanyak 4 kali iaitu sekali di zaman Raja Farouk dan 3 kali di bawah pentadbiran Presiden Jamal Abdul Naser.

Pengaruh beliau yang besar dan mengancam pemerintah diktator Mesir menyebabkan beliau tidak dibenarkan untuk pulang ke Mesir selama hampir 50 tahun sehinggalah Hosni Mubarak digulingkan dalam revolusi Arab Spring pada tahun 2011.

Hanya beberapa hari selepas kejayaan revolusi tersebut, Qaradhawi pulang ke Mesir buat kali pertamanya dan memberi ucapan di hadapan jutaan rakyat Mesir yang masih berhimpun di Dataran Tahrir.

Ia menjadi detik bersejarah apabila solat jumaat terbesar di dataran tersebut yang beliau imamkan turut dihadiri oleh ribuan penganut agama Kristian yang berkhidmat membantu menjaga keselamatan orang Islam yang bersolat.

Apabila kerajaan demokratik Morsi digulingkan oleh tentera pada tahun 2013, Qaradhawi kembali disenaraikan sebagai pengganas oleh kerajaan tentera Mesir. Malah nama beliau dihantar kepada Interpol untuk ditangkap bagi dibicarakan atas tuduhan yang tidak wujud. Kes beliau dibicarakan di mahkamah tentera Mesir tanpa kehadiran beliau dan Mesir menjatuhkan hukuman mati pada tahun 2015 terhadap Al Qaradhawi.

Malah, anak perempuan beliau, Ula Qaradhawi dan menantunya telah ditangkap oleh pihak Mesir pada tahun 2017 dan dipenjarakan walaupun tidak ada sebarang keputusan mahkamah dibuat.

Namun, selepas 4 tahun di penjara, Ula telah dibebaskan apabila pendakwa gagal membuktikan sebarang pertuduhan terhadap beliau.

Pada tahun 2017, Arab Saudi pula menyenaraikan Qaradhawi sebagai pengganas. Beliau tidak dibenarkan memasuki Saudi untuk menunaikan umrah dan haji serta namanya sekali lagi dihantar ke Interpol sebagai individu dikehendaki.

Dalam tuntutan 4 negara yang diketuai oleh Saudi, UAE, Mesir dan Bahrain ketika mengenakan sekatan terhadap Qatar, keempat empat negara menuntut Qatar menghalau keluar Qaradhawi dari negara tersebut. Namun ia tidak diterima oleh Qatar.

Pengajaran bermakna untuk kita ialah, siapapun asalnya kita walaupun daripada keluarga yang miskin tidak menjadi halangan untuk berjaya dengan cemerlang dalam kehidupan.

Keilmuan dan keberanian beliau dalam mengangkat kebenaran tidak boleh dipisahkan. Qaradawi memilih untuk berkata benar terhadap pemerintah sehingga beliau dimusuhi, dipenjarakan, dihalau keluar dari tanah air sendiri, malah dihukum bunuh.

Namun, disebabkan ‘keberanian’ mengangkat kebenaran itulah menyebabkan pengaruhnya, ilmunya dan kitab-kitabnya menjadi rujukan dan ikutan kepada jutaan manusia.

Ia pengajaran cukup bermakna untuk kita. Sama-samalah kita doakan setinggi keampunan buat beliau serta ditempatkan bersama hamba hamba yang soleh.

Baca juga: Sheikh Yusuf Al-Qaradawi sahabat, tokoh rujukan saya sejak zaman mahasiswa-Anwar Ibrahim

Baca juga: Kembar tak ada masa makan, anak Zarina pukul diri sendiri