Malaysia Dateline

Sifir kena jadi ‘kawan baik’, guru ini tekankan mengapa murid perlu hafal ‘jantung’ dalam Matematik

Seorang guru menekankan pentingnya murid sekolah rendah menghafal sifir dan menganggap sifir sebagai ‘kawan baik’.

Apatah lagi, pakar pendidikan mengingatkan bahawa sifir ibarat jantung dalam Matematik di peringkat sekolah rendah yang jika tidak dikuasai, minat murid dibimbangi ‘mati’ akibat fobia untuk memahami subjek itu.

Cikgu Roy menerusi komentar di Facebook berkata terdapat perbezaan yang ketara antara cara berfikir murid yang menghafal sifir dengan yang tidak menguasai sifir.

“Murid yang hafal sifir akan jadi lebih yakin ketika menjawab soalan kerana mereka dah boleh fokus kepada proses penyelesaian yang lebih mencabar.

“Namun, berbeza pula bagi yang tidak menghafal sifir, mereka terkial-kial nak berfikir pasal sifir lagi.

“Hal ini sama juga boleh nampak perbezaan tersebut di sekolah menengah, walaupun di sekolah menengah dah boleh guna kalkulator,” katanya.

Mengulas hujah pihak tertentu bahawa Matematik bukan subjek menghafal, Cikgu Roy berkata, murid memerlukan kemahiran sifir yang dihafal itu untuk membantu mereka nanti.

“Contohnya, 3 darab 2. Budak dah diajar kenapa 3 x 2 jawapannya 6. Ada 3 kumpulan, setiap kumpulan ada 2 ahli. Jadi, bila kira semua ahli, akan dapat 6. Maknanya, budak tu dah tau konsep.

“Tapi untuk next level, contoh macam soalan dalam video itu, 31 x 12, murid perlu cekap untuk congak hasil darab tu.

“Takkan nak suruh budak buat 31 kumpulan dan setiap kumpulan ada 12 ahli kemudian nak kena kira. Bila nak siap kalau macam tu? Sebab itulah perlunya mahir sifir,” jelasnya merujuk pada klip video perbandingan mengira hasil darab itu.

Baca juga Pening nak fahamkan anak, guru pun harap pencipta silibus Matematik Tahun 1 masuk mengajar

Baca juga “Mak bapa sibuk beratur nak makan sukiya, ingat saya ni pengasuh ke” – Wanita kongsi kerenah ibu bapa di pusat beli-belah