Malaysia Dateline

“Sila alihkan kenderaan anda” – Peminat Jay Chou ‘double park’, penonton badminton layan konsert secara ‘percuma’

Peminat penyanyi asal Taiwan, Jay Chou kembali dipersalahkan apabila penonton perlawanan badminton, Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2023 gagal pulang kerumah semalam.

Hal ini berpunca daripada penonton dari dua acara ini berkongsi tempat parkir yang sama berikutan jarak konsert Jay Chou yang diadakan di Axiata Arena itu hanya 110 meter sahaja dari Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penonton acara badminton yang buntu kerana tersadai di tempat parkir itu bertindak menghantar direct message (DM) kepada pengacara dan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya.

Menurut penonton badminton itu, ramai peminat Jay Chou secara tidak bertanggungjawab memarkir secara double park dan menghalang lalu lintas tanpa memikirkan acara itu akan tamat lewat malam.

“Abang Ahmad Fedtri boleh bantu tak, dengan gunakan kuasa media, tolong buat pengunguman. Penonton Jay Chou dah double park kat Stadium Bukit Jalil, tadi tengok badminton, tidak boleh balik ni. Ramai tersadai. Konsert ni habis jam 12,” kongsi penonton badminton itu.

Ciapan Fedtri Yahya yang berkapsyen ‘Peminat Jay Chou, sila alihkan kenderaan anda’ ini mendapat lebih dari setengah juta tontonan.

Untungnya, kongsian tersebut mungkin berjaya mendapat perhatian dari pihak berwajib apabila pengguna akaun tersebut sekali lagi menghantar DM kepada Fedtri memaklumkan keretanya berjaya dikeluarkan.

“Terima kasih atas bantuan, saya dah dapat keluar, ada lagi yang masih tak dapat nak keluar. Ada yang beremosi, ‘towing’ terpaksa tarik kereta. Semoga En Fedtri Yahya dirahmati Allah sekeluarga,” katanya.

Penonton lain turut berkongsi luahan yang sama apabila keretanya dihalang enam biji kenderaan dan terpaksa mendengar nyanyian Jay Chou ‘secara percuma’ sementara menunggu kereta untuk dialihkan.

“Abang Ahmad Fedtri, ada enam kereta menyekat kenderaan saya. Datang untuk badminton tetapi sekarang duduk tepi jalan dengar konsert Jay Chou sebelum boleh balik. Teruknya pengurusan parkir,” kata pengguna lain.

Kongsi Fedtri, hal ini terjadi berikutan dua acara besar yang menjadi tumpuan ramai ini dijalankan serentak.

“Kalau ada dua acara besar bertembung, memang mencabar. Dah tua-tua ni, dengar big crowd pun dah seram,” katanya.

Baca juga: ‘Pulanglah Abah, lama dah tu dekat London, jelaskan segera skandal RM92.5 bilion’