Malaysia Dateline

SMS mendakwa MySejahtera beri RM800 melalui TNG eWallet adalah palsu, taktik curi data orang awam

Pihak MySejahtera telah memberi amaran mengatakan mereka tidak pernah menghantar sebarang pesanan kepada pengguna, memaklumkan sejumlah wang dikreditkan ke akaun mereka melalui touch n Go eWallet.

Jika anda adalah pengguna Touch n Go eWallet, anda dinasihatkan untuk berhati-hati dengan mesej palsu yang cuba mencuri butiran log masuk anda.

Peringatan ini dikeluarkan selepas kebelakangan ini, beberapa pengguna melaporkan menerima SMS seumpama daripada pihak kerajaan, dan memaklumkan mereka menerima kredit melalui dompet digital TNG.

Mesej itu berbunyi: “MySejahtera: Bantuan Khas Kewangan COVID-19 sebanyak RM800 telah kredit ke TNG eWallet anda. Sila semak baki dan tuntutan anda di XXXXX”.

Sebuah pautan turut disertakan, dan meminta pengguna log masuk ke akaun TNG masing-masing melalui sebuah laman web palsu.

Tangkap layar yang dikongsikan pengguna Twitter

Selepas tular tangkap layar yang dikongsikan pengguna Twitter, Mysejahtera telah menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah menawarkan sebarang bantuan kewangan.

“MySejahtera tidak pernah menawarkan sebarang bantuan kewangan atau pembayaran kepada pengguna. Maka, SMS ini adalah palsu dan kami sedang dalam proses melaporkan SMS palsu ini kepada MCMC.

“Sila abaikan sekiranya anda menerima SMS sebegini. Terima kasih,” balasnya di ruangan komen pengguna Twitter tersebut.

Sementara itu pihak polis juga mengingatkan ia adalah salah satu taktik untuk mendapatkan maklumat pengguna. Orang ramai diingatkan supaya tidak menekan pautan diberi, dan hanya mengakses akaun dompet digital daripada aplikasi yang sah sahaja.

Pada masa sama, melalui perkongsian orang ramai, mereka memaklumkan bahawa program My Salam ada memberikan bantuan kewangan akibat Covid-19 tetapi ia dikreditkan terus ke akaun bank dan bukannya akaun TNG.

Kerana itu mereka berkata, ada sesuatu yang tidak kena apabila duit dikredit ke akaun TNG. Kebiasaannya kerajaan akan mengkreditkan wang secara terus ke akaun bank.

Baca juga: Anak bukan mesin pencen ibu bapa, generasi kini terbeban hutang pendidikan, segala kos mahal – Pakar kewangan

Baca juga: Niat jumpa untuk meminang, pasangan terkejut bapa wanita teruskan dengan pernikahan

Baca juga: Lebih 100 jemaah haji fail saman RM3 juta, rupanya sampai hari ini seorang pun belum terima ganti rugi. Ini yang anda perlu tahu