Solat ghaib Yusuf al-Qaradawi: Jakim anjur malam ini, Perlis laksana lepas Zohor esok

Oleh KIM SYAZIE

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melimpahkan kurnia dan perkenan agar dilaksanakan solat jenazah ghaib ke atas Ulama tersohor Sheikh Yusuf al-Qaradawi di seluruh masjid di negeri itu selepas solat Zohor, esok.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, memandangkan solat jenazah ke atas Rahimullah dimaklumkan akan dilaksanakan pada waktu asar di Qatar pada hari ini, maka pelaksanaan solat jenazah ghaib di seluruh negeri Perlis diselaraskan sejurus selepas solat Zohor esok.

“Sehubungan itu, adalah digalakkan kepada seluruh umat Islam di Perlis untuk menyertai solat berkenaan seperti yang telah diperkenankan berdasarkan sunnah Baginda Rasulullah SAW,” titah Baginda.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula memaklumkan akan mengadakan Solat Jenazah Ghaib di tiga buah masjid utama Jakim selepas solat Isyak malam ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ia akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan Masjid Putra serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

“Sehubungan itu, Jakim menjemput semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara agar turut sama mengadakan Solat Jenazah Ghaib buat Almarhum.

“Kami turut menzahirkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah Dr. Yusof Al-Qaradawi Rahimahullah semalam pada usia 96 tahun di Doha, Qatar,” katanya.

Baca juga: Mujahid sambut baik langkah PAC mula siasat kelewatan kapal OPV

Baca juga: Tak perlu ke belantara nun di Banjaran Titiwangsa, tengah KL pun ada hutan wajib datang