SOP terperinci perlu difikirkan sebelum benarkan rentas negeri

Oleh NASUHA RAHMAN

Susulan beberapa langkah menyegerakan vaksinasi populasi dewasa diambil dalam masa terdekat ini, kerajaan dijangka akan membenarkan rentas negeri tiga minggu lagi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kebenaran merentas negeri akan diumumkan bagaimanapun pengumuman SOP rentas negeri akan dibuat terlebih dahulu.

“Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu kita harap dapat dijayakan dalam tiga minggu ini.

“Jadi sebelum ia (rentas negeri diumumkan) banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.

“SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan,” katanya.

Beliau juga mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap dalam masa terdekat, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus dalam tempoh itu.

Katanya, antara tindakan segera akan dilaksanakan ATM ialah menggerakkan lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pendalaman.

Beliau berkata, ATM juga diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi warga ATM kepada orang awam, bagi menyegerakan sasaran.

Hishamuddin berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram Johor Bharu hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menjangkakan dalam masa tiga munggu lagi vaksinasi negara akan mencapai 90 peratus sekaligus kerajaan akan memberi kelonggaran membenarkan rentas negeri.

Ismail Sabri dilaporkan berkata ini kerana sehingga Rabu lalu (22 September), 81 peratus populasi dewasa dalam negara sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi, ia boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu.