Malaysia Dateline

Sopan gerakan ‘Mek Kilau’, aksi silat pulut pengantin ini raih perhatian

Mungkin kerana tempias filem yang mengangkat pahlawan Pahang, Mat Kilau, aksi ‘Mek Kilau’ dilihat meraih perhatian warganet.

Terserlah sopan gerakan seorang pengantin perempuan menghampiri pasangannya yang duduk di kerusi pelamin sambil mempersembahkan silat pulut.

Rakaman video gaya silat untuk persembahan di majlis perkahwinan oleh pengantin berpakaian ungu cair pada hari persandingan mereka itu tular di media sosial.

Rata-rata warganet mengucapkan tahniah dan selamat kepada pasangan pengantin berkenaan kerana berjaya mengabadikan kenangan pada hari bersejarah dengan cara unik dan lain daripada yang lain.

Hal ini kerana individu lain sepatutnya yang bermain silat pulut untuk dipersembahkan kepada pasangan pengantin.

Dalam masa sama, tidak kurang juga mengkritik dan berseloroh memandangkan pengantin sewajarnya duduk sahaja dengan tenang sepanjang berlangsungnya majlis meraikan Raja Sehari.

“Biarlah dia (pengantin) buat apa pun, buat kenangan peribadi dia. Tak susahkan sesiapa pun. Sopan saja gerakan dia. Lemah lembut, tak terkinja-kinja macam sesetengah orang.

“Syabas dik. Jadi kenangan anak cucu nanti,” ulas Rashidah Othman.

Pendapat sama juga dilontarkan oleh Jamilah Jamie menganggap pengantin berkenaan kreatif pada hari bahagia mereka.

Alaa.. Biarkanlah dia sebab dia ‘kan jadi Raja Sehari. Dia boleh buat apa-apa saja. Lagi pun bagus juga supaya suaminya tahu jangan macam-macam dengan dia,” selorohnya.

Namun, bagi pengguna Facebook Zulhilmi Muhammad, perbuatan pengantin wanita itu telah mencarik adab seni silat.

“Pengantin tidak dibenarkan ‘berseni silat’ dalam persandingan. Ini yang saya pelajari dari seorang Guru Tua silat seni.

“Al-Fatihah khususan Allahyarham Tuan Guru Mohd Zain,” tambah Zulhilmi lagi.

Baca juga Ketika ‘Mat Kilau’ gegar pawagam, pengkaji sejarah ini impikan Perang Musuh Bisik pula difilemkan