Suami isteri kesempitan hidup berjaya peroleh kerja

Oleh KIM SYAZIE

Bahagian 2 | Pasangan suami isteri dikenali Kak Jo dan Abang Chai yang menempuhi kesempitan hidup selepas putus pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti dilaporkan sebelum ini, telah berjaya memperoleh peluang pekerjaan.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, selain menyalurkan bantuan kepada pasangan itu dari segi sumbangan dapur baharu dan perkakas dapur, pihaknya sebelum ini turut berusaha mencarikan mereka pekerjaan.

“Kami sangat beruntung dengan penemuan kerja kosong ini. Dengan adanya kerja baru, sekurang-kurangnya hidup mereka tidak lagi tertekan kerana PKP,” katanya di laman Facebooknya baru-baru ini.

Untuk rekod, pasangan tersebut sebelum ini bekerja sebagai pengambil pesanan dan Abang Chai bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah kedai makan.

Pendapatan kecil mereka itu boleh menampung kehidupan mereka berdua tetapi disebabkan PKP, mereka tidak lagi mempunyai kerja.

Pasangan itu sebelum ini dikatakan sudah tidak makan nasi selama enam hari dan hanya makan roti serta biskut-biskut ihsan orang ramai.

Sementara itu, Lim menjelaskan, beliau telah mengikuti pasangan itu ke sesi temu duga dan mereka kelihatan bersemangat untuk bekerja.

Mudah-mudahan, tambahnya, dengan adanya kerja baharu, mereka dapat membuka lembaran baharu untuk kehidupan mereka.

Menurutnya, beliau percaya pasangan itu boleh meneruskan kehidupan seperti insan yang lain di luar sana.

“Kepada mereka yang memerlukan bantuan, jangan malu dan segan untuk menghubungi pihak saya.

“Akan saya cuba sedaya upaya saya untuk membantu mereka yang memerlukan di Kepong,” katanya.