Malaysia Dateline

Suami tak dayus utamakan nyawa isteri, anak sebaliknya dia adalah jantan yang sejati

Seorang suami bukan dayus apabila mengutamakan nyawa isteri dan anaknya ketika kelahiran sebaliknya dia adalah jantan yang sejati.

Kelahiran puteri kembar saya secara pembedahan disambut oleh seorang doktor pakar lelaki beragama Sikh di sebuah hospital swasta di Alor Setar.

Setelah semuanya selesai, jururawat yang juga bukan beragama Islam memanggil saya untuk melaungkan azan untuk kembar saya itu. Alhamdulillah.

Tidak ada doktor pakar wanita Muslim? Sudah tentu ada.

Namun, sesiapa yang berada dalam situasi seperti saya tentu boleh faham tentang perasaan isteri, perasaan saya dan tiga anak kami yang menanti dengan penuh debaran kelahiran adik kembar mereka.

Dalam situasi darurat sebegitu, sudah tentu nyawa adalah taruhan. Ya, sekurang-kurangnya tiga nyawa.

Memelihara ketiga-tiga nyawa itu adalah maqasid agama tertinggi dalam perkiraan saya sebagai ketua keluarga kepada tiga anak yang telah sedia ada.

Saya sebagai ketua keluarga perlu membuat keputusan segera yang paling mudah, paling selesa dan paling berbaloi dari semua sudut kerana keutamaannya adalah nyawa.

Bagi saya, seorang suami yang membuat keputusan terbaik untuk isteri dan keluarganya bukan dayus.

Memanfaatkan kepakaran sesiapa sahaja demi nyawa adalah kejantanan sejati seorang lelaki.

Bagi saya, lelaki dayus adalah lelaki yang mempertaruhkan nyawa isteri dan anak atas alasan “agama” yang difahami secara tohor dan sembrono.

Alhamdulillah, kini puteri kembar saya itu masih di peringkat awal dalam usaha mereka untuk menempatkan diri dalam dunia yang mereka minati, perubatan.

Salah seorang daripada mereka memang menggantung impian untuk menjadi pakar perbidanan dan sakit puan.

Semoga Allah mempermudahkan semua urusan mereka berdua dan urusan kita semua demi melihat agama ini difahami dengan lurus.

Baca juga: Isteri nak tuntut fasakh sebab tak larat tanggung suami sakit kronik, keluarga suami orang senang tapiā€¦