Suami tidak dayus benar doktor lelaki sambut bayi-Hukum jadi harus sebab tiada pilihan terutama tak mampu ke hospital swasta

Oleh NASUHA RAHMAN

Suami tidak dayus jika membenarkan doktor lelaki sambut kelahiran bayi kerana ia melibatkan nyawa namun hukum itu menjadi harus disebabkan tidak mempunyai pilihan terutamanya kepada mereka yang tidak mampu menghantar isteri bersalin di hospital swasta.

Isu ini nampaknya semakin hangat diperkatakan di media sosial ekoran seorang ustazah menyifatkan suami dayus apabila membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi.

Kenyataan ustazah itu telah menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet yang rata-rata tidak bersetuju dengan ustazah berkenaan.

Bahkan suami ustazah berkenaan juga dilaporkan berkata perkara yang sama.

Warganet mempertikaikan hujah ustazah itu dengan mengatakan tidak semua hospital kerajaan mempunyai ramai doktor perempuan dan jika berada dalam keadaan darurat ianya adalah harus mendapatkan doktor lelaki melainkan seseorang itu mampu bersalin di hospital swasta.

Ekoran percanggahan pendapat ini, penceramah selebriti Ustaz Azhar Idrus tampil memberi pencerahan mengenai isu ini ketika hadir ceramah di sebuah masjid.

Menurut Azhar Idrus pada asalnya para wanita perlulah berubat dengan golongan sejantina sahaja.

“Dengar baik-baik, hukumnya asal perempuan itu berubat dengan perempuan. Lelaki berubat dengan lelaki kerana masalah aurat.Perempuan sesama perempuan, haram melihat tetapi lebih berat jika berlainan jantina,”ujar beliau.
menerusi video dimuat naik di laman TikTok @izataim

Dalam perubatan, hukum ‘diangkat’ jika berada dalam keadaan darurat, berbeza hukumnya jika seseorang itu berdepan dengan situasi getir terutama melibatkan nyawa.

“Barangsiapa yang masuk kepada situasi yang tidak boleh membuat pilihan, bukan sengaja dan tidak berlebih-lebihan, tidak berdosa.

“Keadaan darurat itu membolehkan apa yang tidak boleh,”jelasnya lagi.

Jelas ustaz Azhar seseorang suami tidak dayus seperti yang diperkatakan sebelum ini sekiranya tiada pilihan lain sewaktu isteri hendak melahirkan anak.

“Jika berkait dengan nyawa, iaitu ibu dan anak dalam kandungan, maka oleh kerana tidak ada doktor perempuan, maka tidak berdosa doktor lelaki menyambut kelahiran. Kenapa pergi cakap suami dayus pula? Tak haram.

“Hukum ‘haram’ jatuh apabila adanya doktor perempuan tetapi si suami tetap menginginkan doktor lelaki menyambut kelahiran anaknya.

Ustaz Azhar juga berkata, hukum doktor lelaki menyambut kelahiran bagi wanita Muslim adalah harus kerana tidak mempunyai pilihan terutamanya kepada mereka yang tidak mampu menghantar isteri bersalin di hospital swasta.

Baca juga: Ia adalah syurga-Wanita sanggup berhenti kerja untuk bersihkan rumah yang kotor seluruh dunia secara percuma

Baca juga: Guru mengaji cabul pelajar 20 kali dalam tempoh 2 tahun, mangsa menangis dalam dakapan ibu bila pulang