Malaysia Dateline

Sudah 17 usul ditolak Speaker, jika begini Azhar perlu ditolak lepas PRU – Pakar ekonomi

Sesi sidang Dewan Rakyat kali ini menyaksikan sebanyak 17 usul persendirian telah dibawa oleh Ahli Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini menerusi ibu mereka.

Bagaimanapun dilaporkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun telah menolak kesemua 17 usul berkenaan yang kemudian menimbulkan tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen.

Usul mereka yang ditolak termasuklah Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi FAdzil, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Yunus, Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii, dan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Azhar dilaporkan menolak usul berkenaan atas sebab pindaan kepada peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Susulan itu, memberi reaksi kepada perkembangan terbaru ini, Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi mengulas pendek dengan menyarankan agar Azhar ditolak dari kerusi Speaker selepas Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.

“Apa pun, lepas PRU tolaklah Speaker ini,” katanya pendek di Twitter.

Ahli-Ahli Parlimen menghantar usul memohon untuk meminda Perlembagaan Persekutuan iaitu bagi Seksyen 1(b) dan 1(c) di bawah Bahagian II, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan menyentuh Bahagian III Perlembagaan Persekutuan..

Pindaan itu antara lain memasukkan perkataan “atau ibu” bagi membolehkan kanak-kanak yang lahir di luar negara kepada ibu warga Malaysia, untuk turut diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Terdahulu, Azalina berkata, mereka bersedia untuk membawa perkara berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Baca juga: “Salah ni prinsip ’rounding’ dia”- Lagi kes 5 sen, suka hati je kedai genapkan jadi 10 sen

Baca juga: 5 Oktober 2022 berakhirlah politik katak di Malaysia-Undi rakyat tidak akan dikhianati lagi