Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah negara memerlukan lebih ramai para murabbi yang berani tampil ke hadapan untuk menggemakan mesej memerangi rasuah dalam keadaan negara sudah dilanda mudarat akibat perlakuan rasuah.
Titah Sultan Nazrin, para murabbi berperanan amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian dan moral.
Selain itu, para murabbi perlu menegaskan pentingnya ummah memiliki sifat-sifat ikhlas kerana ummah yang ikhlas itu, tidak akan dapat didampingi atau dipengaruhi oleh Iblis.
Baginda juga bertitah, manusia hendaklah diinsafkan dengan kisah yang dijadikan pengajaran oleh Allah kerana iblis memilih untuk menyesatkan manusia melalui instrumen imbuhan berbentuk kuasa.
“Hari ini lebih ramai manusia yang telah disesatkan dengan imbuhan keduniaan berbentuk kuasa dan kekayaan. Manusia tanpa sedar, tanpa silu, tanpa malu, tanpa khuatir akan kebarangkalian telah tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik, kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan.
“Manusia mula mendewakan manusia lain dan bersedia menghambakan diri, menggadai prinsip serta menjual maruah dan harga diri kepada manusia lain kerana wang, kuasa, pangkat dan jawatan,” titah baginda.
Dalam usaha melaksanakan perjuangan murni memerangi rasuah, Sultan Nazrin menyeru semua yakin dan percaya kepada
kebesaran kuasa Ilahi.
Baginda menitipkan pesan agar para aktivis yang terlibat dalam gerakan memerangi rasuah, hendaklah memiliki semangat kental, menyamai semangat para pemuda Ashabul Kahfi, kerana sifat gigih mereka mempertahankan iman meskipun menghadapi pemerintah yang zalim, Allah telah memberikan mereka perlindungan
“Hadapilah cabaran dengan semangat gigih dan hadapilah ujia dengan hati yang cekal. Semaikan kesedaran dan bina kekuatan. Tumpukan usaha kepada tenaga muda yang masih belum rosak mindanya,” titah baginda.
Baca juga: Sifat sebenar seseorang akan terserlah apabila punyai jawatan dan kuasa – Sultan Nazrin