Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad untuk hadir ke program Bon Odori supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.
Baginda juga tidak mahu menteri terbabit menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kenyataan mengelirukan dan tidak tepat sehingga boleh menjejaskan imej dan reputasi jabatan tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, baginda juga tidak mahu pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik menggunakan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.
“Baginda menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam.
“Mereka juga perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat,” titahnya.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).
Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.
Media sebelum ini melaporkan, Idris menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program tersebut kerana ia mengandungi unsur agama lain.
Sultan Selangor berpandangan Festival Bon Odori yang diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun adalah hanya satu perayaan kebudayaan.
Titah baginda, di Malaysia, khususnya di Selangor, Bon Odori diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.
Sultan Selangor bertitah baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada 2016 diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia.
Menerusi pemerhatian baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir.
Baca juga: Menteri Agama nasihat umat Islam tidak hadiri Festival Bon Odori
Baca juga: Demi kejar view, lelaki mohon maaf buat content tanpa kebenaran di zoo