Seorang asnaf di Selangor dipuji netizen selepas tular suratnya kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang memohon untuk menamatkan bantuan dari badan zakat kerana dia sudah mampu bekerja dan menyara keluarganya sendiri.
Menerusi perkongsian LZS di Facebook, badan zakat negeri itu meluahkan rasa terkejut dengan isi surat yang diterima mereka apabila dimaklumkan sendiri oleh asnaf berkenaan bahawa dia ingin keluar daripada Zakat Selangor kerana sudah stabil dan menyatakan ada yang lebih layak menerima zakat berbanding dia.
Lelaki berkenaan telah membuat permohonan pada 25 Februari lalu supaya zakat menghentikan bantuan ke atasnya kerana pendapatan harian yang diterimanya kini mampu menampung keluarganya.
Sebelum ini, dia terpaksa memohon zakat atas faktor kesihatan dan perlu menjalani pembedahan esofagus yang memerlukan dia berehat daripada bekerja atas nasihat doktor.
Dia yang sebelum ini bekerja sebagai pembaiki barangan elektronik berpendapatan sekitar RM1300 menanggung tiga orang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja.
“Alhamdulillah, hasil zakat yang dikeluarkan oleh pengeluar zakat, kita dapat membantu keluarga beliau sepanjang beliau tidak bekerja dulu.
“MashaAllah, melihat dari perwatakan beliau, sangat rendah diri dan jujur orangnya kerana tahu akan haknya ketika bergelar seorang asnaf dahulu.
“Semoga Allah permudahkan dan suburkan rezeki beliau sekeluarga sepanjang zaman atas sifat jujur yang beliau tunjukkan. Moga menjadi teladan buat kita semua,” tulis LZS.
Tahniah zakat
Meninjau ke ruangan komen di Facebook LZS ramai yang mengucapkan tahniah atas kehebatan badan zakat yang mampu mengeluarkan asnaf dari kepompong kemiskinan.
Ada juga yang memuji lelaki berkenaan sebagai golongan ‘rare’ yang susah jumpa.

Baca juga: Kenali jenis manusia toksik di tempat kerja
Baca juga: Ingin beli rumah namun bimbang ditipu, ini 4 langkah yang anda boleh lakukan