Malaysia Dateline

Tabah urus anak lumpuh berbelas tahun akibat penyakit saraf otak

Berat mata memandang, berat lagi bagi memikul. Sepasang warga emas di Setiu, Terengganu sejak 15 tahun lalu tabah menjaga anak perempuannya yang terlantar di katil akibat lumpuh seluruh badan.

Itu rutin harian Mustafa Abdullah, 68, dan Romlah Salleh, 63, yang menetap di Kampung Mengabang Telung, Batu Rakit.

Setiap hari pasangan tua itu mengurus Ramilawati, 43, yang tidak lagi mampu bergerak akibat penyakit saraf otak dengan hanya mata saja mampu memberi isyarat.

Menurut Romlah, anak sulung daripada empat beradik itu pada mulanya mengadu sakit kaki ketika berada di tahun akhir di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor pada 2001.

Jelasnya yang mengalami penyakit darah tinggi, diabetes dan sakit urat itu, pada mulanya disangkakan sakit kaki dialami Ramilawati hanya biasa saja.

Walau bagaimanapun, katanya, lapor BH, rasa sakit itu bertambah teruk apabila kedua-dua kaki Ramilawati mula kebas dan mengadu sakit seluruh anggota badan.

“Pada peringkat awal Ramilawati mengadu sakit kaki, kami membawanya mendapatkan rawatan tetapi pada masa itu doktor tidak dapat mengesahkan penyakit yang dialami.

“Tahap kesihatannya semakin merosot apabila tidak lagi mampu berjalan, namun sempat menghabiskan pengajian termasuk hadir ke majlis konvokesyen dengan bantuan kerusi roda,” ujarnya.

Romlah berkata, sebaik tamat pengajian, Romilawati akhirnya disahkan doktor mengalami penyakit saraf otak dan selama 10 tahun berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

“Lebih menyedihkan, tahap kesihatan Ramilawati bertambah teruk dan disahkan lumpuh sepenuh badan dan tidak boleh bercakap pada tahun 2007.

“Ramilawati juga dipakai lampin pakai buang selain diberi minum susu menerusi tiub manakala mandi diurus sepenuhnya kami berdua,” katanya.

Tambah beliau lagi, anaknya ada menerima bantuan lampin pakai buang daripada Tabung Darul Iman, susu daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM200.

Baca juga ‘Musnahnya alam memang disebabkan politik, bubur dah jadi gam kanji’

Baca juga Aduhai! Nasib baik monyet ni tak cedera