Malaysia Dateline

Tajuddin buktikan tiga fakta, masih mahukah ahli Umno seorang penipu memimpin parti?

Pendedahan Tajuddin Abdul Rahman yang mengesahkan adanya usaha yang digerakkan oleh Ahmad Zahid Hamidi untuk meraih sokongan Ahli-Ahli Parlimen Umno bagi menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri serta kewujudan Akuan Bersumpah atau SD yang dihantar ke Istana Negara sekurang-kurangnya membuktikan tiga fakta yang nyata.

Pertama, ini menunjukkan pengakuan Anwar sebelum ini bahawa beliau mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan untuk mengambil alih teraju pentadbiran negara bukanlah suatu dongengan, sebaliknya hakikat sahih yang membuktikan antara pendukungnya ialah Zahid Hamidi selaku Presiden Umno sendiri.

Kedua, usaha yang Zahid Hamidi lakukan beserta bukti SD yang disahkan oleh saksi hidup iaitu Tajuddin dan kemudian diperkukuh lagi melalui kenyataan Nazri Aziz yang menyebut beliau adalah antara beberapa Ahli Parlimen Umno yang turut menandatangani SD tersebut, ini bermakna Presiden Umno telah membohongi ahli-ahli Umno secara hidup-hidup berkenaan ketetapan “No Anwar dan No DAP”.

Ketiga, oleh kerana ketetapan “No Anwar dan No DAP” adalah keputusan MT Umno yang kemudian disahkan dalam Perhimpunan Agung Umno, tindakan Zahid Hamidi menggerakkan usaha menyokong Anwar melalui SD yang dihantar ke Istana Negara itu adalah suatu bentuk perlanggaran dan pengkhianatan paling besar terhadap pendirian parti.

Meskipun fakta pertama lebih ke arah memberi kelegaan kepada Anwar yang selama ini diejek dan disindir dengan pelbagai kata mengenai pengakuannya memiliki majoriti kukuh dan meyakinkan dan kini beliau boleh menarik nafas lega susulan pendedahan Tajuddin, tetapi ketiga-tiga fakta itu secara terangkum telah memberi malu yang amat besar ahli-ahli Umno keseluruhannya.

Rupa-rupanya selama ini Presiden Umno adalah berbohong dan melanggar ketetapan yang dibuatnya sendiri, meski lakonannya ketika berucap atau dalam sidang media sentiasa mantap kononnya kekal berpegang dengan keputusan “No Anwar dan No DAP”.

Ambik kau… Akhirnya basah kuyup 3.4 juta ahli Umno kena kencing dengan Presidennya sendiri.
Kalau ahli biasa boleh diambil tindakan disiplin jika melanggar ketetapan parti, apakah jika Presiden sendiri yang terang-terang melakukan kesalahan yang sama akan dilepaskan begitu saja?

Sebagai Presiden Umno, Zahid Hamidi sepatutnya menjaga dan melindungi maruah 3.4 juta ahli-ahli parti, bukannya menipu dan memperdaya mereka dengan sandiwaranya.

Ahli-ahli Umno kini harus bertanya kepada Zahid Hamidi, apa muslihat dan kepentingannya sehingga sanggup menggerakkan usaha mengumpul SD untuk menyokong Anwar yang dihantar ke Istana Negara di sebalik mulutnya sentiasa basah untuk kekal berpegang kepada pendirian “No Anwar dan No DAP”.

Tambahan lagi usaha mengumpul sokongan melalui SD kepada Anwar itu hanya beberapa bulan selepas beliau juga mengetuai sokongan kepada Mahiaddin Md Yasin untuk menjadi Perdana Menteri susulan berlakunya Langkah Sheraton.

Jenis manusia apakah yang sanggup bersikap lain di mulut tapi lain dilakukan kepada 3.4 juta ahli yang selama ini setia dan menaruh kepercayaan kepadanya?

Secara prinsipnya tidak salah untuk Umno menyokong Anwar, DAP atau sesiapa sekali pun dalam percaturan politiknya, tetapi jangan sesekali berbohong atau bersandiwara dalam sokongan yang diberikan.

Kalau kata sokong dimulut, buktikan sokongan itu melalui tindakan dan begitu juga sebaliknya jika menolak, hendaklah juga dibuktikan penolakan itu melalui perbuatan.

Sudahlah dengan ahli UMNO dibohonginya, kepada Anwar yang diakui cikgu politiknya juga sanggup ditipunya kerana sampai hari ini beliau tidak pernah berani mengakui surat sokongan atau SD yang dihantarnya ke Istana Negara itu.

Menipu dan berbohong, lebih-lebih lagi jika dilakukan dalam senyum dan secara sekaligus kepada 3.4 juta ahli UMNO, ini adalah dosa kepimpinan yang paling besar dan tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Dalam rumahtangga pun kalau ketua keluarga didapati berbohong, maka ia adalah malapetaka yang akan menyebabkan hilang kepercayaan serta hidup berkeluarga mula jadi berantakan.

Ahli-ahli UMNO dengan itu bukan saja harus malu kerana mempunyai seorang ketua yang sedemikian rupa, malah mereka mesti berani bangkit menuntut pembaharuan.

Untuk PRU15 akan datang, masih mahukah mereka seorang penipu dan pembohong terus memimpin parti Melayu terbesar di negara ini?

Baca juga Selepas londeh isu dalaman Umno, Tajuddin muncul sohor kini di Twitter

Baca juga Wanita tergamak bunuh bayi sendiri hanya sebab tak tahan dengar tangisan