Malaysia Dateline

Tiga hari cuti bermula esok tapi tak berduit pula, ini perkara boleh anda lakukan

Taman Rimba Bukit Kerinchi

Tiga hari cuti bagi kebanyakan rakyat negara ini sempena Hari Malaysia tetapi ramai juga yang mengeluh kerana tidak berduit atau mempunyai wang lebih untuk berbelanja bawa keluarga makan angin.

Tambahan pula, banyak kos makanan dan barangan sekarang berganda dan melambung harganya ketika majoriti majikan masih berkira untuk menaikkan gaji.

Namun, warganet ada berkongsikan apa yang boleh anda lakukan demi memanfaatkan hari cuti ini bersama ahli keluarga bukannya hanya tidur sehingga matahari naik segalah.

Bagi Ain Ashida, cara mereka sekeluarga bergembira walaupun dihimpit masalah duit yang terhad mudah sahaja. Ujarnya, masak saja dari rumah dan bawa bekal serta anak-anak berkelah di taman terdekat.

“Anak-anak pun seronok, lepas bebas, dapat main puas-puas,” katanya.

Hal sama juga dicadangkan Faiz Reen yang menulis, “Bawa bekal. Bentang tikar tepi Tasik Putrajaya itu pun happy dah”.

Taman Tasik Metropolitan Kepong

Di Lembah Klang khususnya, banyak kawasan taman rekreasi awam boleh dikunjungi mulai esok pagi dengan membawa ahli keluarga bersenam, berjalan, berjogging dan berbasikal.

Sekitar Kuala Lumpur sahaja, terdapat Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri dan taman rekreasi terbesar di ibu negara iaitu di Taman Tasik Metropolitan Kepong dengan landskap menghijau dan tasik yang luas.

Taman Tasik Permaisuri 2

Sementara itu, ramai lagi berpendapat sekalipun wang menjadi kekangan, tiada alasan untuk memanfaatkan masa berkualiti bersama anak-anak sekalipun hanya di rumah.

“Cuti tidak semestinya keluar jalan. Duduk rumah pun best. Bahagikan tugas pada anak-anak. Kemas bilik, cuci bilik air dan cuci kereta.

“Ganjaranny,a kita beli makanan kegemaran mereka dan makan beramai-ramai. Boleh juga masak sedap-sedap kemudian tengok wayang di rumah sama-sama. Bahagia,” kata seorang netizen.

Ada juga menyarankan masa terluang sepanjang tempoh cuti panjang ini boleh diisi dengan pelbagai aktiviti yang tidak mengeluarkan wang termasuk mendirikan solat berjemaah di surau atau masjid berdekatan rumah.

“Duduk rumah diam-diam, ajak anak main pondok-pondok macam kita dulu. Ziarah jiran kot ada yang sakit. Ke surau setiap waktu, insya-Allah, masa akan penuh terisi,” nasihat Azman Alias pula.

Baca juga Tak perlu ke luar negara mencari ‘alam kayangan’, negeri ini paling banyak tempat cantik yang rakyat Malaysia sendiri ramai tak sangka

Baca juga Denda sehingga RM2 juta jika jual RON95 kepada warga asing