Sejak Taliban mengambil alih dan memerintah Afghanistan, lebih 23 juta platform media dan laman web dilapor telah disekat organisasi itu kerana menerbitkan kandungan yang dianggap tidak bermoral.
Terkini, dilaporkan bahawa Taliban akan menguatkuasakan larangan penggunaan aplikasi perkongsian video popular, TikTok dan permainan video PUBG dalam masa 90 hari.
Lapor potal Merdeka.com, TikTok akan dilarang dalam masa satu bulan lagi manakala larangan PUBG akan berkuatkuasa dalam tempoh tiga bulan lagi.
Pada Isnin 19 September lalu, semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan internet di Afghanistan telah menerima maklumat berkait dengan larangan tersebut dan diminta mengikuti arahan dalam waktu yang ditetapkan.
“Kami telah menyekat 23.4 juta laman web. Mereka menukar halaman setiap kali disekat. Jadi setiap kali anda menyekat satu laman web, satu lagi akan akif,” kata Menteri Komunikasi, Najibullah Haqqani.
Dalam pada itu, timbalan menteri komunikasi Afghanistan, Ahmad Masaoud Latif Rai menyelar Facebook kerana enggan bekerjasama dengan Taliban untuk menyesuaikan kandungan (content) mereka.
Terdapat perubahan besar dalam budaya media di Afghanistan termasuk penutupan lebih daripada setengah juta saluran media, larangan ke atas beberapa saluran dan laman web, peningkatan sekatan kerja, keganasan dan ancaman terhadap wartawan.
Sementara itu lapor Agensi, sejak Taliban berkuasa, lebih 45 peratus wartawan telah meninggalkan pekerjaan mereka, manakala sekatan yang semakin ketat terhadap media di Afghanistan juga mendapat kritikan meluas masyarakat antarabangsa.