Sebagai usaha tambah baik sistem keadilan jenayah hari ini kerajaan setuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.
“Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.
Jawatankuasa tersebut diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan dianggotai pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.
Katanya, Jemaah Menteri bersetuju penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.
“Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian atau jabatan berkepentingan.
“Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip proportionality dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti,” katanya beliau.
Beliau berkata, keputusan berkaitan perkara itu menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik.
“Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen yang telah diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam penghasilan laporan kajian ini yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif,” katanya lagi.
Wan Junaidi berkata, kerajaan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini, antaranya seperti kewujudan prosedur prapenghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, pembangunan Garis Panduan Penghukuman, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.
Terdahulu dilaporkan hampir 2,000 pesalah yang ditangguh menjalani hukuman gantung ekoran pelaksanaan moratorium sejak 2018 tidak mengetahui penghujung nasib mereka apabila cadangan sebelum ini untuk mengkaji akta berkaitan, sepi tanpa perkembangan terbaharu.
Keadaan itu menyebabkan bilangan banduan akhir yang menanti pelaksanaan hukuman tersebut bertambah daripada 1,359 orang pada 2018 kepada 2,000 orang pada tahun ini.
Penangguhan hukuman mati adalah langkah reformasi perundangan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilaksanakan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), namun tidak menunjukkan perkembangan setelah bertukar kerajaan pada 2020.
Baca juga: Doktor bedah dari Kuching bengang AirAsia tukar ‘flight’ ikut suka. Akhirnya ini yang terjadi…
Baca juga: Pasar raya Kuwait buang produk keluaran India dari rak