Kerajaan perlu mengkaji semula undang-undang sedia ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berikutan kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan harus menambah satu hari lagi sesi sidang khas Parlimen pada 20 Januari ini untuk membincangkan hal berkaitan integriti SPRM itu di samping agenda utama berkaitan banjir.
“Kerajaan dan pembangkang perlu cari jalan penyelesaian dan memastikan ada sistem semak dan imbang untuk memastikan institusi SPRM terbela,” tegasnya.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan hari ini.
Beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung konvoi ‘Protes Selamatkan SPRM’ yang disertai 50 unit kenderaan ke bangunan SPRM Putrajaya, 10 Januari lalu.
Akmal menegaskan undang-undang di bawah akta berkaitan perlu dikaji dan dipinda memandangkan beberapa jawatankuasa yang sepatutnya berperanan menyelia SPRM seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dilihat gagal.
“Isu integriti yang berlaku di peringkat dalaman SPRM telah melemahkan kedudukan LPPR,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menambah, AMK akan menghantar memorandum kedua iaitu ‘Memorandum Rakyat’ yang akan diserahkan kepada kerajaan sewaktu sesi Parlimen khas pada 20 Januari ini.
Pelbagai pihak terdiri daripada parti politik, pemimpin pembangkang dan badan berkaitan integriti mendesak isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam Baki disiasat sebuah badan bebas demi menjaga kredibiliti SPRM sebagai institusi terpenting dalam negara.
Minggu lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak Azam dan Abu Zahar perlu disiasat oleh sebuah badan bebas dan kedua-duanya harus direhatkan sementara siasatan berjalan.