Malaysia Dateline

Tarik rambut, heret budak perempuan: Warga emas ditahan dera anak angkat

Wanita yang menarik rambut serta mengheret seorang budak perempuan berpakaian seragam sekolah telah ditahan kerana dipercayai mendera.

Warga emas berusia sekitar 60-an yang dipercayai mendera budak perempuan 10 tahun itu ditahan di rumahnya dekat Tanjong Sepat, Kuala Langat pada jam 12.10 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata hasil siasatan awal mendapati suspek adalah wanita warga tempatan.

Menurutnya, mangsa adalah anak angkat berdaftar kepada suspek yang dipercayai tinggal bersama suspek sejak kecil dan kini berusia 10 tahun.

“Kanak-kanak perempuan dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Ridhwan memaklumkan, pihaknya mendapat laporan daripada Ketua Balai Polis Tanjong Sepat yang menerima satu rakaman video berdurasi 33 saat melalui WhatsApp yang dihantar oleh orang awam, semalam.

Rakaman itu menunjukkan seorang wanita sedang menarik rambut serta mengheret seorang budak perempuan yang memakai pakaian seragam sekolah atas jalan di hadapan rumahnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Ridhwan berkata, kanak-kanak itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Baca juga Panas hati tengok budak kena dera, tindakan pendera ini dikecam orang ramai

Baca juga Suka hati je nak undur sebab terlepas simpang, lelaki bengang hon kenderaan sampai jalan